Mohd Rashidi Yusuf


Gerik: Kemunculan seekor gajah jantan dipercayai mencari makanan disifatkan perkara biasa bagi pekerja di Pusat Perikanan Darat Banding (PPDB) di Tasik Temenggor, di sini.

Ketua PPDB berkenaan Tuan Hakimi Tuan Mood berkata, dalam kejadian terbaru, gajah jantan itu didapati masuk ke premis berkenaan antara 9 dan 10 malam semalam.

Menurutnya, haiwan liar itu bagaimanapun tidak mencederakan pekerja selain tidak merosakkan barangan, peralatan mahupun kenderaan di pusat berkenaan.

"Pekerja-pekerja di PPDB juga tidak membuat provokasi terhadap haiwan liar itu kerana kehadiran gajah di kawasan itu sudah menjadi perkara biasa.

"Memang berhampiran PPDB itu ada kawasan laluan gajah, malah ada tempat mandian dan kami sering melihat kawanan gajah melintas dan mandi di situ.

"Gajah itu akan beredar sendiri tanpa dihalau, sehingga kadang kala ia akan masuk ke kuarters pekerja sehingga memecahkan cermin tingkap," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, ada kala mereka terpaksa menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak jika haiwan itu bertindak di luar dugaan.

SEEKOR gajah jantan masuk ke tempat loading makanan ikan di Pusat Perikanan Darat Banding, Tasik Temenggong dekat sini malam semalam. FOTO MOHD RASHIDI YUSUF
SEEKOR gajah jantan masuk ke tempat loading makanan ikan di Pusat Perikanan Darat Banding, Tasik Temenggong dekat sini malam semalam. FOTO MOHD RASHIDI YUSUF

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 6:12 PM