LALUAN masuk ke Taman Herba.
LALUAN masuk ke Taman Herba.
PULAU Rama-Rama mencatatkan 50,000 kunjungan setahun.
PULAU Rama-Rama mencatatkan 50,000 kunjungan setahun.
MELALUI titi gantung untuk ke Santuari Kelah.
MELALUI titi gantung untuk ke Santuari Kelah.
GELAGAT gajah di KECV menyimbah air kepada pengunjung ketika dimandikan.
GELAGAT gajah di KECV menyimbah air kepada pengunjung ketika dimandikan.
Asrizal Aris


Menghirup udara segar waktu pagi di atas bot yang bergerak perlahan dari satu destinasi ke destinasi pasti memberi ketenangan.

Pemandangan berkabus yang terbentuk indah menutupi bukit-bukau di dalam tasik yang lebih besar dari Singapura itu menyejukkan mata memandang.

Tempat persinggahan menarik seperti Pulau Rama-Rama, Taman Herba, air terjun, gua dan Santuari Ikan Kelah menambah ketenangan sehingga menghilangkan segala stres.

Lebih manis, pengalaman memberi makanan dan mandi bersama sembilan ekor gajah manja menjadi kenangan tidak dapat dilupakan sampai bila-bila.

Itulah yang dirasai ketika berkunjung ke Tasik Kenyir, Kuala Berang, Terengganu bersama rombongan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, baru-baru ini.

Dengan keluasan 260,000 hektar menjadikan Tasik Kenyir tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara.

Di tasik itu ada 340 pulau yang asalnya tanah tinggi dan bukit yang ditenggelamkan lalu membentuk kawasan yang dikelilingi air selepas tasik dibina.

Lebih menarik, kedinginan dan suasana hutan di 14 air terjun gunung menjadikan Tasik Kenyir habitat kepada pelbagai spesies ikan air tawar dan hidupan liar lain.

Berada jauh dari kesibukan kota, Tasik Kenyir memiliki hutan tropika tersembunyi yang menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna.

Mempamerkan 1,200 ekor daripada 20 spesies rama-rama berasal dari lebih 10 negara menjadikan Pulau Rama-Rama lokasi sesuai dikunjungi mereka yang cintakan keindahan warna-warni.

Kecantikan rama-rama spesies Raja Brooke Birdwing bersaiz besar yang berasal dari Sarawak antara tarikan yang menjadikan pulau itu popular dalam kalangan pelancong asing.

Pulau Rama-Rama yang mencatatkan kira-kira 50,000 kunjungan setahun turut menampilkan pelbagai jenis cicak, katak, labah-labah, ular dan ikan.

Bagi yang gemarkan sungai sebagai tempat riadah, Air Terjun Lasir dan Air Terjun Saok antara lokasi sesuai untuk bermandi-manda dan berkelah.

Kesejukan air­nya pasti membuat anda menggigil dan keghairahan terjun dan merakam gambar kenangan dengan latar belakang air putih menghempas batu membuat anda terlupa sejenak erti kesejukan.

Berada di Tasik Kenyir tidak lengkap jika tidak singgah di pusat tumpuan yang menjadi ikon tasik itu iaitu Santuari Kelah.

Mereka yang masih menyangka ikan kelah bersifat liar pasti bagai bermimpi apabila bukan sahaja boleh menyentuhnya, malah memeluk ratusan ikan berkenaan yang berada di sekeliling ketika berada di kawasan itu.

Tidak hairanlah, kebanyakan kanak-kanak yang berkunjung ke santuari ini tidak puas bermain dengan ikan ini sehingga ada yang tidak mahu pulang.

Biarpun terpaksa berjalan dari bot menuju ke santuari itu memakan setengah jam, ia tetap berbaloi dengan pengalaman dirasai.

Keterujaan makin membuak apabila singgah di Gua Bewah. Gua yang menempatkan gambar proses carigali bahan warisan serta penemuan sejarah itu menimbulkan pelbagai tanda tanya.

Selain terkenal sebagai tempat persembunyian pahlawan Mat Kilau, ia juga menyimpan pelbagai cerita mistik termasuk kisah ular putih yang dikatakan ‘penghuni’ gua itu.

Mempunyai 26,000 tanaman daripada 230 spesies herba menjadikan Taman Herba lokasi pilihan sesuai buat mereka yang cintakan kesihatan secara tradisional termasuk pengkaji perubatan berasaskan herba.

Meskipun cuma persinggahan tambahan di Tasik Kenyir, ia tetap dikunjungi ramai untuk menikmati khasiat herba yang disediakan secara percuma selain dibuka untuk penyelidikan perubatan.

Bagi kaki pancing, tidak lengkap ke Tasik Kenyir jika tidak menjinakkan `raja lubuk’ itu ke darat.

Pelbagai jenis ikan air tawar seperti kelah, toman, sebarau dan lampam menjadikan waktu malam bagi pesta buat kaki pancing yang menganggap Tasik Kenyir bagai `syurga.’

Antara lubuk tumpuan yang disarankan ialah Sungai Cacing, Sungai Petuang, Sungai Saok dan Sungai Leban.

Mereka yang kali pertama ke tasik ini boleh mendapatkan bantuan daripada pengendali penginapan dan kru rumah bot berlesen yang lebih arif mengenai lubuk ikan.

Selepas mengecapi pelbagai pengalaman menarik di tasik, sebelum pulang, jangan lupa bersantai dengan sembilan gajah manja di Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV).

Di sini, anda akan menonton persembahan gajah cerdik dan berpeluang melayani kerenah haiwan itu.

Selepas tamat persembahan, anda dibenar memberi makanan yang disediakan kepada gajah. Lebih menarik, pengunjung diberi peluang memandikan haiwan itu di sungai berdekatan.

Yang pasti, setiap aktiviti di Tasik Kenyir akan menjadi kenangan terindah buat pengunjung sehingga ada yang tidak jemu bertandang berkali-kali sama ada bersama rakan atau anggota keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 5:58 AM