CASEMIRO (kanan) antara pemain harapan Benitez.
CASEMIRO (kanan) antara pemain harapan Benitez.
AFP

Madrid: Jurulatih baru Real Madrid, Rafael Benitez menegaskan kelab gergasi Sepanyol itu akan bermain secara menyerang di bawah kendaliannya dan memburu pemain baru menjelang musim baru.

“Kami memiliki ramai penyerang, jadi corak permainan kami adalah menyerang,” katanya.

“Gaya permainan kami berdasarkan serangan, selepas menguasai bola, kami akan menyerang dengan pantas, cuba untuk mengimbangi antara serangan dan bertahan,” ujarnya.

Benitez, 55, mengikat kontrak tiga tahun bulan ini untuk mengendalikan kelab Sepanyol itu yang mana beliau memulakan karier kejurulatihan di peringkat remaja pada awal 1990-an.

Bekas jurulatih Liverpool itu boleh mengharapkan dua pemain baru musim depan, pertahanan kanan Brazil, Danilo dan pemain tengah bertahan Brazil, Casemiro yang dibeli Real Madrid dari kelab Portugal, FC Porto, awal tahun ini.

Ditanya jika kelab itu akan mengikat pemain baru, beliau berkata: “Sudah tentu.”

“Sebagai contoh Danilo dan Casemiro, mereka antara pemain yang penting dan kelab ini bekerja setiap hari untuk cuba meningkatkan tahap pasukan ini dengan pengambilan pemain baru mampu membantu kami berdepan cabaran mendatang,” jelasnya.

“Tapi biar saya jelaskan untuk meningkatkan skuad semasa Real Madrid amat sukar. Pasukan ini sudah menang setiap trofi dan membuktikan tahap mereka. Peminat boleh yakin skuad ini memiliki tahap kompetitif yang diperlukan.”

Benitez menggantikan jurulatih Itali, Carlo Ancelotti yang dipecat Real Madrid hanya setahun selepas beliau mengemudi kejayaan ke-10 kelab itu menjulang Piala Eropah.

Beliau kembali ke Sepanyol buat kali pertama dalam tempoh sedekad selepas mencipta nama dengan dua kejuaraan liga dalam tempoh tiga tahun bersama Valencia antara 2001 dan 2004.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 9:37 AM