BALE (atas) membuat percubaan ke arah gawang Gijon.
BALE (atas) membuat percubaan ke arah gawang Gijon.
Reuters

Madrid: Minggu lalu, jurulatih baru Real Madrid Rafa Benitez pernah berkata, beliau tidak bimbang dengan kemarau gol yang sedang dialami pasukannya dan yakin masalah itu pasti selesai pada perlawanan pembuka tirai La Liga menentang Sporting Gijon.

Begitupun, harapannya menjadi angin kelmarin apabila anak buahnya seri tanpa jaringan di Stadium Molinon di Gijon sambil pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo dan Gareth Bale gagal menghasilkan gerun buat lawan.

Ia pantas dianggap sebagai satu kejayaan buat Gijon yang mempunyai bajet tahunan 100 kali lebih rendah berbanding Real dan Benitez seakan menangisi kegagalan barisan depannya mencipta peluang menghasilkan gol.

Benitez yang pernah menjadi pemain dan jurulatih di akademi Real sebelum mengendalikan kelab seperti Valencia, Liverpool, Chelsea, Inter Milan dan Napoli, menggantikan Carlo Ancelotti yang dipecat selepas Real gagal memenangi Liga Juara-Juara, La Liga atau Copa del Rey musim lalu.

“Kami menamatkan saingan dengan formasi 4-3-3 dan ia membolehkan pemain yang mampu menjaringkan gol, berada di barisan depan, menguasai tengah sambil dibantu pemain pertahanan,” kata Benitez.

“Saya rasa kami berjaya melaksanakan misi di bahagian pertahanan dan tengah tetapi tidak di barisan depan,” kata pengendali berusia 55 tahun itu.

“Ia adalah soal meningkatkan keupayaan, tahap kecergasan dan cara kami bergerak sebagai satu unit.”

Aksi Real selepas ini ialah menentang Real Betis di tempat sendiri, Sabtu ini dan sudah tentu peminat di Bernabeu mengharapkan keputusan positif.

Jika tidak, Benitez pasti berdepan kemarahan peminat dan itulah yang dihadapi Ancelotti pada babak kedua musim lalu.

Kapten Sergio Ramos berkata, tidak ada sebabnya mereka perlu bimbang dengan keadaan itu.

“Pada babak pertama, kami tidak bermain dengan baik tetapi selepas kami menguasai babak kedua, kami tidak mencipta peluang untuk menjaringkan gol yang boleh membunuh semangat lawan,” kata pemain antarabangsa Sepanyol itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 8:24 AM