BANYAK masalah jika kereta terbabit dengan banjir.
BANYAK masalah jika kereta terbabit dengan banjir.

Ketika kejadian banjir me­ngejut di Puchong, Selangor, baru-baru ini, kereta saya terbabit sama dan ditenggelami air hingga ke paras separuh pintu kereta. Apa perlu saya lakukan dalam keadaan begini?

SHAHROL YAZ

Puchong, Selangor

Elak menghidupkan kereta anda kerana ini boleh me­nyebabkan lebih banyak kerosakan.

Enjin yang dimasuki air perlu dibersihkan secara menyeluruh. Minyak pelincir harus ditukar baru dan buka semua palam pencucuh untuk membantu me­ngeringkan ruang pembakaran dengan memutarkan enjin bagi mengeluarkan air terkumpul.

Jika minyak pelincir yang ditukar itu menjadi putih selepas beberapa kali enjin diputar, ia sudah bercampur baki air dalam enjin dan perlu diganti lagi.

Ia membabitkan proses rumit dan lazimnya memerlukan khidmat pakar, terutama mencuci karburetor atau pendikit suntikan bahan api.

Periksa penapis udara pada enjin anda. Jika penapis basah, ja­ngan cuba menghidupkan kereta.

Jika kereta tidak diinsuranskan bagi perlindungan bencana alam, tentu anda perlu bantuan profesional untuk mengeringkan kereta dengan kipas kuasa tinggi.

Tidak kira apa yang dilakukan, anda akan menghadapi risiko kulat yang teruk.

Kipas bagi kegunaan rumah tidak akan mampu mengeringkan kereta anda. Jangan sekali-sekala gunakan pemanas atau peralatan yang menggunakan haba untuk mengeringkan kereta anda.

Ini kerana ada petrol dalam tangki dan mungkin sudah meresap ke dalam kereta dan mampu mengundang bahaya.

Selepas enjin berjaya dihidupkan, sentiasa berhati-hati ketika memandu. Bahagian mikro-elektronik yang basah tidak akan memberi prestasi sama dan boleh mendatangkan masalah teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2015 @ 5:01 AM