FOTO Norizzah Baharudin
FOTO Norizzah Baharudin
Oleh Norizzah Baharudin


Alor Gajah: Seorang pegawai kanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) patah tangan kanan manakala anaknya cedera ringan selepas kereta BMW 5 Series, dinaiki dua beranak itu terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 216.8, Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran susur keluar ke Alor Gajah, 12.15 tengah hari tadi.

Mangsa dikenali Hardial Singh, 55, dan anaknya berusia 20-an difahamkan dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

Menurut sumber, ketika kejadian kereta dinaiki dua beranak itu berada di lorong tengah sebelum hilang kawalan dan terbabas ke lorong kiri dan merempuh besi penghadang di bahu jalan.

"Mangsa bernasib baik berikutan bahagian belakang kenderaan tersangkut besi penghadang.

"Ia mengelakkan kenderaan mereka daripada terhumban ke bawah gaung kira-kira 20 meter," katanya.

Kedua-dua mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Alor Gajah (HAG) untuk rawatan kecemasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 3:41 PM