KEADAAN kereta dinaiki mangsa yang ditembusi besi penghadang jalan. FOTO Ihsan pembaca
KEADAAN kereta dinaiki mangsa yang ditembusi besi penghadang jalan. FOTO Ihsan pembaca
Rosli Ilham


PENGETUA bersama guru sekolah menengah di Besut berdepan detik mencemaskan apabila kereta dinaiki mereka ditembusi besi penghadang jalan di Kilometer 375, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Bukit Besi, Dungun, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 petang, Mohamad Nawi, 53, dan guru lelaki terbabit bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kejadian dipercayai berlaku ketika kedua-dua lelaki itu dalam perjalanan pulang ke Besut selepas menghadiri sambutan Hari Guru peringkat negeri yang diadakan di Kemaman.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Mercedes Benz dipandu Mohamad dikatakan hilang kawalan akibat hujan lebat sebelum terbabas ke kiri lebuh raya dan merempuh besi penghadang.

Rempuhan kuat menyebabkan besi itu menembusi bahagian bawah kereta sehingga cermin depan kenderaan.

Pengetua dan guru terbabit berjaya keluar daripada kenderaan berkenaan dengan bantuan orang ramai yang melalui kawasan kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 12:53 AM