KERETA mangsa remuk teruk selepas terbabas dan dirempuh lori. FOTO ihsan polis
KERETA mangsa remuk teruk selepas terbabas dan dirempuh lori. FOTO ihsan polis
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Seorang pekerja syarikat jualan atas talian maut selepas kereta Proton Wira dipandunya terbabas dan dirempuh lori kurier di Kilometer (KM) 215.1 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 5.30 pagi itu, mangsa, Nor Azli Abdul Fattah, 25, dalam perjalanan bersama keluarganya dari Bandar Sunway, Kuala Lumpur, ke kampung isterinya di Batu Pahat, Johor.

Mangsa maut di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala abangnya yang duduk di kerusi penumpang hadapan parah di kepala dan kini dirawat di zon merah Hospital Seremban.

Isteri mangsa, Isma Zaria Alhamlima, 25, cedera di bahu manakala anak lelaki mereka berusia dua tahun serta pemandu dan kelindan lori berusia berusia 54 dan 49 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, anggota Balai Polis Trafik Alor Gajah menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 6.45 pagi.

Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian menemui kesan serpihan komponen kenderaan di lorong kecemasan dan kesan geseran bermula di lorong kecemasan sehingga ke lorong paling kanan.

"Mangsa dari arah Bandar Sunway menghala ke Batu Pahat manakala lori dari arah Sungai Petani, Kedah menghala ke Johor Bahru.

"Kemalangan berlaku apabila kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan sebelah kiri sehingga berpusing.

"Pada masa sama, lori dari lorong kiri tidak sempat membrek lalu melanggar kereta mangsa yang diseret dari lorong kiri ke kanan," katanya dihubungi.

Arshad berkata, mayat pemandu kereta dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat manakala kenderaan terbabit ditahan untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Katanya, mangsa turut disahkan positif Covid-19 manakala ahli keluarganya yang lain masih menunggu keputusan ujian calitan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 7:48 PM