Sofia: Pilihan keempat dari Jerman, Andrea Petkovic mengalahkan pilihan kedua Dominika Cibulkova dari Slovakia 7-5, 6-3 untuk muncul pemain pertama layak ke separuh akhir Kejohanan Juara-Juara WTA, kelmarin.

Andrea ketinggalan 1-3 dalam kedua-dua set, namun bangkit sekali gus menamatkan perlawanan round-robin itu dalam masa satu jam 43 minit.

“Saya bermain dengan amat bagus hari ini dan saya fikir Domi juga bermain dengan baik terutama pada set pertama,” kata Andrea. “Saya amat gembira dengan keseluruhan persembahan hari ini.”

Piihan ketujuh dari Sepanyol, Garbine Muguruza dan Alize Cornet, pilihan keenam dari Perancis, turut memenangi perlawanan round-robin mereka.

Garbine menang 0-6, 6-1, 6-1 ke atas pilihan ketiga, Flavia Pennetta dari Itali manakala Alize menundukkan pilihan utama, Ekaterina Makarova dari Russia 6-1, 6-4.

Ekaterina kemudian menarik diri daripada kejohanan itu kerana kecederaan belakang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 5:04 AM