SEORANG guru memeriksa suhu badan anak muridnya di sebuah sekolah di Seoul.
SEORANG guru memeriksa suhu badan anak muridnya di sebuah sekolah di Seoul.
Agensi

Seoul: Korea Selatan mencatatkan kematian keenam kes Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) semalam dengan 23 kes terbaru wabak virus berbahaya itu menjadikannya penularan paling buruk di luar Arab Saudi.

Daripada hanya empat kes dua minggu lalu, jumlah itu kini meningkat kepada 87 orang, termasuk enam yang meninggal dunia.

Menurut kementerian kesihatan, kematian terbaru membabitkan lelaki berusia 80 tahun yang meninggal dunia awal pagi semalam di sebuah hospital di Daejeon, 140 kilometer dari selatan Seoul.

Wabak terbabit mencetuskan kebimbangan orang ramai di Korea Selatan apabila 2,500 dikuarantin, manakala hampir 2,000 sekolah - kebanyakannya di Seoul dan sekitar wilayah Gyeonggi - terpaksa ditutup.

Bagaimanapun pakar mikrobiologi Ho Pak-leung, di Universiti Hong Kong berkata, kemungkinan penularan serius wabak itu tipis memandangkan ia tidak mudah dijangkiti dari seseorang ke orang lain.

Kes baru yang diumumkan semalam kebanyakannya dijangkiti dari Pusat Perubatan Samsung di selatan Seoul - antara hospital terbesar di negara yang menempatkan hampir 900 pesakit dan kakitangan hospital di bawah pemerhatian.

Seorang pelajar berusia 16 tahun menjadi remaja pertama dijangkiti, namun kementerian pendidikan menegaskan dia dijangkiti di hospital bererti tidak mungkin mendedahkan rakan sekolah kepada penyakit itu.

Menurut pegawai kanan di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea, Chung Eun-Kyung, mereka yang dikurung di rumah perlu tinggal seorang diri di dalam bilik dan memakai topeng sewaktu berinteraksi dengan ahli keluarga lain.

Kerajaan kelmarin mengumumkan menjejak telefon bimbit mereka yang dikuarantin untuk memastikan tidak menyelinap keluar. Beberapa sudahpun ditangkap apabila tetap berdegil keluar ke tempat awam walaupun berdepan saman sehingga tiga juta won (RM10,100).

Ratusan acara awam, lawatan sekolah dan aktiviti sukan terpaksa dibatalkan. Manakala pawagam, taman tema dan pusat membeli-belah dilaporkan mengalami kerugian besar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 8:12 AM