MURID sekolah rendah memakai topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga selepas bangunan di Busan itu dibuka semula, semalam.
MURID sekolah rendah memakai topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga selepas bangunan di Busan itu dibuka semula, semalam.

Seoul: Korea Selatan semalam melaporkan dua kematian dan tiga jangkitan baru Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) menjadikan jumlah kematian kepada 27 orang.

Dua kes kematian terbaru membabitkan lelaki berusia 84 dan 87 tahun yang dilaporkan meninggal dunia semalam, lapor kementerian kesihatan.

Menurut laporan itu, kedua-dua mangsa menghidap kanser sebelum ini.

Dua pesakit itu dijangkiti di Pusat Perubatan Samsung di Seoul serta Daecheong di Daejeon dan masing-masing disahkan dijangkiti virus itu pada 9 serta 12 Jun lalu.

Kementerian turut melaporkan tiga kes baru menjadikan jumlah mereka 172 orang.

Dua daripada pesakit itu menjangkiti MERS di hospital Samsung dan Pusat Perubatan Universiti Konkuk di Seoul, manakala seorang lagi pekerja kesihatan di hospital Daecheong.

Kementerian berkata, 14 pesakit dalam keadaan kritikal manakala 50 sudah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang.

Mereka termasuk tujuh orang yang disahkan pulihkan minggu lalu.

Penularan virus itu di Korea Selatan bermula 20 Mei lalu apabila seorang lelaki berusia 68 tahun didiagnos selepas pulang dari Arab Saudi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 9:49 AM