Sebahagian doktor yang menyertai protes bagi membantah keputusan kerajaan Korea Selatan untuk menambah jumlah pengambilan pelajar perubatan baharu. - FOTO AFP
Sebahagian doktor yang menyertai protes bagi membantah keputusan kerajaan Korea Selatan untuk menambah jumlah pengambilan pelajar perubatan baharu. - FOTO AFP
BERNAMA-YONHAP

Seoul: Gangguan operasi kesihatan di Korea Selatan terus meningkat dengan seorang wanita warga emas meninggal dunia akibat serangan jantung tanpa rawatan.

Hari ini masuk hari ketujuh selepas ribuan doktor pelatih meletak jawatan sebagai membantah rancangan kenaikan kuota sekolah perubatan kerajaan.

Kebimbangan mengenai krisis perkhidmatan penjagaan kesihatan semakin meningkat apabila lebih 9,000 doktor pelatih dan pemastautin telah berhenti kerja di hospital-hospital awam di seluruh negara sebagai protes terhadap rancangan untuk menaikkan jumlah pendaftaran sekolah perubatan sebanyak 2,000 tahun depan, lapor agensi berita Yonhap.

Hospital umum utama di Seoul dan tempat lain bergelut dengan ketiadaan doktor pelatih, bahagian teras tenaga kerja dalam operasi hospital.

Kapasiti pembedahan telah dikurangkan separuh daripada paras normal di kebanyakan hospital umum, manakala sesetengah pesakit yang memerlukan rawatan perubatan kecemasan telah ditolak kemasukan ke hospital, memaksa mereka menunggu berjam-jam untuk rawatan.

Di pusat bandar Daejeon, seorang wanita berusia 80-an tiba dengan ambulans dari rumahnya selepas mendaoat serangan jantung pada Jumaat.

Kesemua tujuh hospital yang dihubungi pada mulanya, enggan menerimanya, dengan alasan ketiadaan doktor yang bertanggungjawab, kekurangan katil hospital atau sebab lain.

Beliau akhirnya tiba di hospital 53 minit selepas meninggalkan rumah, namun disahkan meninggal dunia.

Menurut pihak berkuasa bomba di Daejeon, 23 kes kelewatan pengangkutan perubatan kecemasan telah dilaporkan di bandar itu sejak Selasa lalu, manakala bandar pelabuhan tenggara Busan menyaksikan 42 kes sedemikian.

Doktor di hospital umum menyatakan kebimbangan bahawa operasi hospital yang sudah tertekan mungkin mengalami tamparan maut jika doktor terlatih menyertai tindakan kolektif seperti yang mereka cadangkan.

Kerajaan mengumumkan pada Isnin bahawa ia boleh mula menggantung lesen doktor pelatih yang membantah melainkan mereka kembali bekerja tidak lama lagi, menggesa mereka untuk kembali bertugas pada Khamis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 5:38 PM