KINI kegunaanya pelbagai dan menjadi perhiasan atau kegunaan harian.
KINI kegunaanya pelbagai dan menjadi perhiasan atau kegunaan harian.
LENGKAPKAN konsep tradisional pada ruang.
LENGKAPKAN konsep tradisional pada ruang.
KELEBIHAN produk kraf ini adalah dari segi ketahanannya.
KELEBIHAN produk kraf ini adalah dari segi ketahanannya.

Sejak dulu lagi penanaman pokok rumbia menjadi sumber rezeki utama masyarakat tempatan terutama di Mukah, Sarawak.

Pokok rumbia bukan saja mampu menghasilkan tepung sagu secara tradisional, malah saki-baki penebangan pokok itu juga boleh dijadikan produk kraf.

Lazimnya, bahagian pelepah diambil dan kemudian dianyam untuk dijadikan tikar, ukap (bekas makanan), bakul menangkap ikan serta mengisi hasil tangkapan ikan atau terendak.

Bagaimanapun, kini melalui kajian dan penyelidikan yang dijalankan mengikut kehendak pasaran semasa, anyaman rumbia diubah suai menjadi produk moden.

Ia termasuk dijadikan alas pinggan, bekas hantaran, panel pembidang, terendak lampu, penyandar kerusi dan hiasan siling rumah. Namun, ciri tradisi tempatan masih dikekalkan.

Kelebihan produk kraf rumbia dari segi ketahanannya. Rumbia disifatkan sebagai produk tahan lasak dan mampu bertahan lebih 10 tahun jika dijaga dengan rapi.

Pelbagai motif diadaptasikan kepada produk kraf daripada rumbia dan tiga paling popular ialah corak babat, lipan dan bunga salak.

Hasil kreativiti pengusaha kraf tempatan juga menjadikan produk ini lebih eksklusif apabila digabungkan bersama produk kraf lain seperti rotan dan mengkuang.

Selain itu, kraf rumbia menawarkan aura warna yang antik iaitu kuning dan merah hati.

Bukan saja sesuai dijadikan sebagai dekorasi dan kelengkapan ruang kediaman atau pejabat, kraf rumbia juga menarik dijadikan hiasan di laman atau taman.

Peminat hasil kraf jangan lepaskan peluang mengunjungi Hari Kraf Kebangsaan yang bakal berlangsung mulai 26 Mac hingga 6 April ini dari jam 10 pagi hingga 10 malam, di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.

Inilah peluangnya untuk mendapatkan hasil kreativiti produk kraf tempatan yang dihimpun di bawah satu bumbung.

Bagi pembaca yang baru berjinak-jinak dengan produk kraf, Hari Kraf Kebangsaan adalah platform terbaik untuk mendalami keindahan, kesenian, kehalusan dan keistimewaan produk berkenaan. Maklumat lanjut di www.kraftangan.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:03 AM