Johor Bahru: Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) memperuntukkan lebih RM2.3 bilion bagi memberikan perkhidmatan rangkaian Internet terbaik kepada pelanggannya di seluruh negara sejak tiga tahun lalu.

Ketua Pegawai Jualan Digi Loh Keh Jiat berkata, pada tahun ini, syarikat komited melabur lebih RM900 juta bagi merangsang segmen sama sekali gus memacu pertumbuhan pendapatan syarikat.

“Kita sentiasa berusaha menaik taraf perkhidmatan Internet dan diharapkan dengan liputan 4G LTE terbaru yang ditawarkan kepada pelanggan dapat menikmati penggunaan yang lebih laju.

“Fokus kami supaya setiap pelanggan sama ada yang baru atau yang mementingkan penjimatan mempunyai akses terbaik dari segi kualiti, berbaloi dan mampu untuk dilanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Perkhidmatan 4G LTE, semalam.

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ir Hasni Mohammad.

Turut hadir, Ketua Pegawai Rangkaian Digi S Kesavan dan Ketua Wilayah Selatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Rizal Abd Malek.

Pada masa ini, Digi mempunyai seramai 11.7 juta pelanggan dengan 6.6 juta adalah pengguna Internet.

Sementara itu, Kesavan berkata, Digi menyasarkan liputan bagi pelan 4G LTE yang ditawarkan syarikat itu mencapai 45 peratus menjelang akhir tahun ini.

“Buat masa ini, selain di Johor Bahru liputan 4G LTE Digi kini meliputi Lembah Klang, Pulau Pinang, Kuantan, Kota Kinabalu, Tawau, Labuan, Kuching, Miri, Bintulu, Kampar, Langkawi dan Port Dickson.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 6:21 AM