KESAVAN (kanan) dan Ketua Pegawai Pemasaran Digi, Loh Keh Jiat pada majlis pelancaran Digi 4G Plus, semalam.
KESAVAN (kanan) dan Ketua Pegawai Pemasaran Digi, Loh Keh Jiat pada majlis pelancaran Digi 4G Plus, semalam.
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Digi Telecommunication Sdn Bhd (Digi) komited fokus kepada liputan dalam bangunan bagi mengukuhkan rangkaian 4G LTE di seluruh negara berikutan penggunaan spektrum baru 900MHz bermula awal bulan ini.

Ketua Pegawai Teknologinya Kesavan Sivabalan berkata, spektrum baru itu membolehkan signal telefon mudah alih mencapai liputan luas, sekali gus membawa rangkaian 4G LTE kepada kawasan lebih terpencil di seluruh negara.

“Kami yakin spektrum baru ini bukan saja mampu mencapai liputan di kawasan terpencil, malah menembusi dinding bagi memberi liputan dalam bangunan yang lebih kukuh selepas ini,” katanya pada Digi 4G Underground Challenge, di sini, semalam.

Sehingga kini, rangkaian 4G LTE Digi mencapai liputan 86 peratus daripada populasi di 295 bandar manakala LTE-Advanced (LTE-A) mencapai liputan 45 peratus di 80 bandar di Malaysia.

Beliau berkata, laluan Transit Aliran Massa (MRT) menjadi antara lokasi tumpuan Digi untuk menawarkan rangkaian 4G LTE kepada pelanggan terutama di stesen bawah tanah MRT.

Menurutnya, spektrum baru itu terus membantu Digi menawarkan perkhidmatan 4G LTE kepada pengguna di kawasan tertutup untuk menikmati pengalaman rangkaian 4G tanpa batasan, konsisten dan lebih baik.

“Kami kini menjalinkan kerjasama dengan MRT bagi memastikan rangkaian 4G LTE boleh dicapai di kawasan tertutup dan turut mempertingkatkan liputan di kawasan perkhidmatan rel lain seperti Transit Aliran Ringan (LRT) pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, acara Digi 4G Underground Challenge menyaksikan Digi membawa petugas media untuk menguji dan menikmati pengalaman rangkaian 4G LTE di sepanjang laluan MRT Sungai Buloh-Kajang, terutama di stesen bawah tanah MRT.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2017 @ 3:27 AM