PESERTA bergambar kenangan ketika menyertai perhimpunan Perodua Myvi.
PESERTA bergambar kenangan ketika menyertai perhimpunan Perodua Myvi.
SEBANYAK 2,613 kereta Perodua Myvi berkumpul.
SEBANYAK 2,613 kereta Perodua Myvi berkumpul.
Oleh Erywan Norshal


Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mencipta sejarah apabila berjaya menghimpunkan 2,613 pemilik Perodua Myvi sekali gus tercatat dalam Malaysia Book of Records bagi perhimpunan kereta terbesar di Malaysia.

Rekod perhimpunan Perodua Myvi itu disertai peserta dari Lembah Klang dan negeri lain yang mula berkumpul sejak jam 7 pagi pada hujung minggu lalu.

Pengumuman itu dilakukan wakil Malaysian Book of Records, Siva Sorianarayanan dan disaksikan Ahli Parlimen Tanah Merah, Kelantan, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Acara yang diadakan sempena meraikan ulang tahun Myvi ke-10 itu bagi meraikan kenderaan paling laris jenama berkenaan dengan dijual melebihi 850,000 unit sejak dilancarkan pada 25 Mei 2005.

Peserta yang menghadirinya turut diberi hadiah eksklusif bernilai melebihi RM400, selain disajikan peraduan menyeronokkan, menaiki belon udara panas dan pelbagai aktiviti menarik.

Kira-kira 5,000 pengunjung membanjiri acara itu yang mana mereka turut berpeluang menonton persembahan filem diikuti pertunjukan bunga api.

Pada masa sama, pemilik Perodua Myvi dari Perak iaitu Syed Mohamad Izzuddin Syed Ahmad Termizi memenangi cabutan bertuah yang membawa pulang Perodua Myvi Edisi Komemoratif.

Beliau memenangi kenderaan edisi terhad itu yang menerima sentuhan kemasan merah dalam ruang dalaman, manakala luaran dipenuhi kit badan GearUp yang diserlahkan dengan pelekat gentian karbon serta grafik tampak sporty.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Aminar Rashid Salleh turut memperkenalkan pakej aksesori GearUp Myvi yang berharga antara RM2,900 sehingga RM3,300.

“Bagi mereka yang berminat, boleh berkunjung ke pusat jualan dan cawangan perkhidmatan untuk mengetahui lebih lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2015 @ 5:02 AM