Oleh Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Mayat seorang lagi kru kapal yang dilaporkan terbalik dan hampir karam di perairan Pengerang, Kota Tinggi pada 20 Mei lalu ditemui oleh nelayan tempatan kira-kira 12 tengah hari semalam, dua batu nautika berhampiran Pulau Pemanggil Mersing.

Sehubungan dengan itu juga, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengumumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi sembilan lagi mangsa kapal malang berkenaan ditamatkan selepas perbincangan teliti bersama anggota SAR yang disertai oleh Pasukan Polis Marin dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pengarah Operasi Daerah Maritim (APMM) 7, Komander Maritim Mustafa Kamal Abas berkata, mayat terakhir berkenaan hanyut sejauh 65 batu nautika dari lokasi kapal terbalik dan dibawa ke jeti Mersing sebelum disahkan sebagai kru kapal hari ini.

"Operasi SAR bagi mengesan baki sembilan mangsa kapal Ocean Line 208 yang dilaporkan terbalik dan hampir karam ditamatkan selepas mengadakan perbincangan dengan semua agensi terbabit.

"Sepanjang tujuh hari operasi SAR dilaksanakan, lima mayat termasuk seorang rakyat Malaysia, Allahyarham Raja Mohammad Firdaus Raja Ikram dijumpai dengan dua mayat ditemui di dalam badan kapal," katanya.

Operasi ditamatkan berikutan tiada tanda penemuan dan operasi akan disambung semula sekiranya mendapat petunjuk baru, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 6:34 PM