Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Klang: Polis menahan dua lelaki dan merampas tiga pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di dalam gudang di Taman Perindustrian Meru Indah, Klang, malam tadi.

Menurut sumber, lelaki berusia 27 dan 47 tahun itu ditahan polis selepas diekori dari kawasan Meru di sini, sejak 12.30 tengah hari semalam, sebelum ditahan di Yong Peng, Johor.

Katanya, selepas ditahan, polis di bawa ke sebuah gudang dan pemeriksaan menemui tiga Toyota Hilux yang mana sebuah daripadanya berada di dalam kontena.

"Hasil pemeriksaan lanjut, semua kenderaan itu dilaporkan hilang di beberapa kawasan di Lembah Klang sebelum ini," katanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman twitternya mengucapkan tahniah kepada pasukan polis atas kejayaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 11:03 AM