Asap tebal berkepul di gudang kilang minyak di Thailand. FOTO Twitter @FireDept33
Asap tebal berkepul di gudang kilang minyak di Thailand. FOTO Twitter @FireDept33
Agensi

Bangkok: Akibat marahkan majikan yang menegur cara kerjanya, seorang wanita Thailand, membakar gudang sebuah kilang minyak pelincir, tempat dia bekerja.

The Independent melaporkan, wanita disahkan polis sebagai Sirisini atau Ann Sriya, 38.

Dia didakwa menggunakan pemetik api untuk membakar sekeping kertas sebelum melemparkannya ke dalam bekas bahan api di gudang Minyak Prapakorn di Nakhon Pathom.

Leftenan Jeneral Wilayah, Thanayut Wuttijarathamron mengesahkan, Sriya ditahan di rumahnya di daerah Sam Phran, sebelum didakwa selepas suspek mengaku melakukan pembakaran itu.

Katanya, wanita yang turut cedera ketika kejadian pada 29 November lalu itu, tidak berpuas hati kerana marahkan majikannya yang menegur supaya dia memperbaiki cara kerjanya.

Menurut Jeneral Chomchawin Purthananon, kejadian berkenaan adalah kali kedua berlaku di kilang itu, dalam beberapa bulan ini.

Kebakaran itu menyebabkan kerugian 40 juta baht Thailand (RM5.07 juta).

Bangunan itu menyimpan ribuan tangki minyak.

Menerusi rakaman gambar yang dikongsi di media sosial menunjukkan api dan asap hitam tebal berkepul-kepul ke udara di tingkat satu bangunan gudang itu.

Selain itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV), menunjukkan seseorang yang didakwa Sriya masuk ke dalam gudang dengan sekeping kertas di tangan sebelum hilang di sebalik deretan unit rak sebuah kontena.

Api kemudiannya dilihat muncul di dua lokasi di belakang kontena.

Rakaman sama menunjukkan individu itu membawa kertas.

Suspek direman dan polis masih meneruskan siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 7:01 AM