DUA lelaki ditahan dan kira-kira dua juta batang rokok seludup dirampas di Pusat Pemeriksaan Jalan (RCP) Sapi Nangoh dekat Beluran, Sandakan semalam. FOTO Ihsan Pasukan Gerakan Am (PGA)
DUA lelaki ditahan dan kira-kira dua juta batang rokok seludup dirampas di Pusat Pemeriksaan Jalan (RCP) Sapi Nangoh dekat Beluran, Sandakan semalam. FOTO Ihsan Pasukan Gerakan Am (PGA)
Hazsyah Abdul Rahman


DUA lelaki ditahan dan kira-kira dua juta batang rokok seludup dirampas di Pusat Pemeriksaan Jalan (RCP) Sapi Nangoh dekat Beluran, Sandakan semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.10 malam, itu suspek berusia 34 dan 38 tahun diberkas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 15 Sandakan ketika cuba melalui RCP berkenaan.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 15 Sandakan, Superintendan Toipi Lamat berkata, terdahulu anggota sedang bertugas di lokasi itu menahan sebuah lori kontena.

Menurutnya, lori itu sedang dalam perjalanan dari Sandakan ke Kota Kinabalu dan dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun.

"Ketika diperiksa, pemandu mengemukakan satu dokumen yang mencurigakan dan enggan memberikan kerjasama apabila diminta membuka pintu kontena.

"Suspek mengatakan kunci kontena tertinggal di Sandakan dan pemilik kontena akan datang ke lokasi itu membawa kunci.

"Pada jam 12.40 tengah malam seorang lelaki 34 tahun yang mengaku sebagai pemilik kontena datang ke lokasi namun dia enggan membuka kontena untuk diperiksa serta turut mengatakan terlupa membawa kunci," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Toipi berkata, suspek bagaimanapun membuat pengakuan secara lisan ia sebenarnya berisi rokok seludup.

"Suspek bersama barangan berkenaan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan lanjut.

"Pemeriksaan ke atas kontena berkenaan menemui pelbagai rokok tidak bercukai dianggarkan sebanyak dua juta batang. Rampasan dianggarkan bernilai RM1.65 juta termasuk lori," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek kemudiannya ditangkap untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

"Kedua-dua suspek juga akan didakwa kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kes disiasat mengikut Peraturan 3 (2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat Berjangkit) 2020," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 2:35 PM