MEMANJAT tebing bukit beri peluang golongan muda Palestin beriadah.
MEMANJAT tebing bukit beri peluang golongan muda Palestin beriadah.
KEGIGIHAN dan kekuatan minda peserta teruji untuk sampai ke puncak.
KEGIGIHAN dan kekuatan minda peserta teruji untuk sampai ke puncak.
WANITA muda Palestin turut tertarik sertai aktiviti memanjat tebing bukit.
WANITA muda Palestin turut tertarik sertai aktiviti memanjat tebing bukit.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin

Tangannya kuat menggenggam tali, sementara kakinya pula mencari-cari tempat untuk berpijak. Suara sorakan dan dorongan rakan menguatkan semangat Salwa Khashan untuk meneruskan latihan memanjat cenuram batu di Tebing Barat, benar-benar berdepan dengan kawasan pemerintahan Israel.

Dia dan rakan pemanjat lain adalah kumpulan pertama di Palestin yang menerima sijil memanjat selepas tamat kursus tiga hari ‘Menawan Wadi’ di utara Ramallah.

“Ia (kursus berkenaan) mengajar saya banyak perkara. Saya belajar mencuba sedaya mungkin dan menggunakan kekuatan mental untuk mencari jalan supaya dapat naik.

“Pada masa sama saya juga perlu menahan kesakitan fizikal bagi memastikan saya sampai ke atas,” katanya yang tinggal di penempatan Arab di timur Jerusalem yang dikuasai Israel sejak 1967.

Minat gadis berusia 23 tahun ini dan rakan seperjuangannya tercetus selepas bertemu dengan dua anak muda warga Amerika - Will Harris dari Chicago dan Tim Bruns dari Connecticut yang menceritakan pengalaman dan rasa cinta mereka terhadap aktiviti mencabar itu.

“Saya dan Tim pergi ke Palestin untuk meluaskan komuniti pemanjat gunung. Kami mahu menjelajah dan menelusuri Palestin. Kami lihat ada potensi besar untuk aktiviti ini di sini,” kata Harris.

Projek mereka itu dimulakan dengan membuat beberapa cubaan memanjat di kawasan Ramallah bersama kawan-kawan lain.

Selepas itu, mereka menganjurkan beberapa kursus pendek untuk penduduk Palestin dan warga asing yang tinggal di Ramallah. Dari situlah tercetusnya idea untuk melancarkan projek ‘Menawan Wadi’.

Kini dua sahabat berkenaan membuka dua kawasan memanjat. Pada masa sama mereka juga membuka pusat kecergasan dan memanjat dalam bangunan yang pertama di Palestin.

Bagi Nadine Abu-Rmeileh, 23, juga dari timur Jerusalem, itu kali pertama dia menyertai aktiviti yang mencabar berkenaan dan ia benar-benar memberi kesan pada dirinya.

“Saya tidak dapat gambarkan perasaan saya dengan kata-kata sebaik berjaya sampai ke puncak. Anda akan rasa sangat berpuas hati dengan pencapaian sendiri. Pada mulanya ketika melihat dinding bukit yang curam, saya fikir tidak mungkin ia dapat dipanjat. Tetapi apabila saya mula memanjat, saya tahu perlu atasi semua cabaran. Rasa tidak percaya saya berjaya sampai ke puncak,” katanya.

Ternyata aktiviti mencabar itu menepati selera anak muda di situ. Di bawah naungan awan, 12 anak muda berkumpul di kaki bukit batu dan dibahagikan kepada tiga pasukan mengikut kemahiran iaitu peserta baru, pertengahan (sudah ada pengalaman dan pengetahuan memanjat) serta kumpulan yang menduduki ujian.

Dihubungkan

Peserta baru diberikan kasut khas selepas mereka belajar perkara asas mengenai ikatan tali, cara menolak diri dari tebing dan melilit atau membelit tali, teknik keselamatan paling utama di mana orang yang berada di bawah ‘dihubungkan’ dengan pemanjat dengan tali dan bagaimana untuk menyokong berat badan jika terjatuh atau tergelincir.

Tetapi kerja untuk memasang gelang bolt pin besi yang dipasak ke batu supaya boleh digantung tali - hanya dilakukan oleh jurulatih.

“Ia sangat menakutkan. Tapi perlu paksa diri untuk melakukan sesuatu yang tidak pernah dibuat sebelum ini terutama di negara ini,” kata Omar Abu- Arra, 22, dari Jenin, sebuah pekan di utara Tebing Barat.

Sebenarnya usaha mencari lokasi untuk memanjat di Tebing Barat juga ada cabaran tersendiri.

“Agak sukar untuk memasang gelang bolt di sini kerana ada sesetengah kawasan yang anda tidak boleh masuk.

“Kami mahu membangunkan kawasan yang boleh dimasuki oleh penduduk Palestin. Jadi kami perlu pertimbangkan jenis akses, lokasi penempatan (Yahudi) dan lokasi taman Israel,” ,” kata Bruns yang merujuk kepada kawasan simpan Israel kerana di situ tidak dibenarkan memasang gelang bolt.

Dek kerana pelbagai kekangan itulah, akhirnya projek Menawan Wadi dilakukan di dua tempat, satu di Ain Qiniya dan satu lagi di Yabrud yang terletak di Tebing Barat kawasan Palestin dan di sempadan di bawah kawalan Israel.

Apa yang menguatkan semangat dua sahabat itu untuk datang ke Tebing Barat dan memulakan projek berkenaan selepas mereka menyedari kurangnya kemudahan untuk aktiviti sukan di kawasan Palestin.

“Sebaik tiba di sini kami rasa terkejut dan sedih apabila melihat sangat kurang peluang rekreasi untuk penduduk di sini,” sambung Bruns.

Mereka berdua sebenarnya ialah guru bahasa Inggeris tetapi boleh berbahasa Arab yang dipelajari ketika berada di Jordan di mana dua sahabat berkenaan turut meluangkan masa memanjat tebing bukit di sana.

Di sanalah mereka mendapat tahu bahawa kos yang tinggi untuk aktiviti memanjat menjadikannya ia hanya diceburi golongan kaya saja.

Namun mereka mempunyai harapan yang lebih besar di Tebing Barat. Mereka mahu menarik lebih ramai orang untuk menyertai aktiviti yang mencabar itu.

Dengan bantuan dari Amerika Syarikat, warga Palestin dan penderma persendirian lain, mereka mahu kemudahan yang disediakan itu boleh digunakan oleh semua dan hanya mengenakan caj sebanyak 60 shekel (RM56) sehari termasuk tunjuk ajar jurulatih dan sewa kasut.

Rami Sughayer, 27, dari timur Jerusalem berkata, dia mengetahui aktiviti itu melalui adiknya selepas selesai mengikuti kursus.

“Kali pertama dia pergi ke situ, saya fikir ia hanyalah aktiviti membuang masa. Tetapi apabila melihat gambarnya memanjat tebing bukit setinggi 15 hingga 20 meter, saya rasa tercabar. Saya cakap dengannya, lain kali saya mahu ikut!” kata Rami. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2015 @ 10:56 AM