Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.6 peratus bagi suku pertama 2015 dengan sektor swasta terus menjadi pendorong utama pertumbuhan

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM277.2 bilion pada suku dalam kajian.

Katanya, Malaysia mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 5.7 peratus pada suku akhir tahun lalu dan pertumbuhan 6.2 peratus bagi Januari hingga Mac 2014.

“Penggunaan swasta berkembang pada kadar lebih kukuh sebanyak 8.8 peratus pada suku pertama berbanding 7.6 peratus yang dicatatkan pada suku keempat 2014, disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang stabil dan pertumbuhan upah lebih tinggi.

“Pertumbuhan penggunaan swasta yang kukuh juga disumbangkan oleh usaha bantuan banjir pada awal tahun dan perbelanjaan isi rumah yang dipercepat sebelum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST),” katanya ketika mengumumkan perkembangan ekonomi dan kewangan negara, semalam.

Bagi pelaburan swasta pula mencatatkan pertumbuhan sebanyak 11.7 peratus, disokong oleh perbelanjaan modal sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Dr Zeti berkata, pelaburan awam kembali pulih untuk mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 0.5 peratus berikutan perbelanjaan modal yang lebih tinggi oleh Kerajaan Persekutuan dan perusahaan awam.

Lebihan dagangan RM21.3 bilion pada suku pertama 2015 manakala rizab antarabangsa BNM sebanyak RM389.7 bilion pada 31 Mac 2015.

Bagi suku pertama, inflasi lebih rendah pada 0.7 peratus berbanding 2.8 peratus pada suku sebelumnya berikutan sumbangan negatif daripada segmen pengangkutan susulan semakan ke bawah harga bahan api dalam negeri.

Dr Zeti berkata, BNM juga mungkin akan mengkaji semula sasaran inflasi tahun ini daripada 2.0 hingga 3.0 peratus yang ditetapkan sebelum ini jika paras harga minyak melebihi AS$70 setong.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:06 AM