DR Zeti (tengah) membentangkan Prestasi Ekonomi pada Suku Keempat Tahun 2014 di Bank Negara.
DR Zeti (tengah) membentangkan Prestasi Ekonomi pada Suku Keempat Tahun 2014 di Bank Negara.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 5.8 peratus pada suku keempat 2014, berbanding 5.6 peratus dicatatkan pada suku sebelumnya.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, pertumbuhan lebih kukuh pada suku berkenaan sebahagian besarnya dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta yang lebih kukuh berikutan peningkatan aktiviti mereka.

“Dari segi penawaran, pertumbuhan pada suku keempat disokong oleh semua sektor ekonomi utama terutama dari sektor pembuatan, perkhidmatan dan perlombongan,” katanya selepas mengumumkan keputusan pertumbuhan ekonomi suku keempat di sini, semalam.

Menurutnya, pelaburan swasta meningkat pada kadar lebih cepat sebanyak 11.2 peratus berbanding 6.8 peratus pada suku sebelumnya, disokong keadaan pasaran pekerja yang stabil dan pertumbuhan upah yang berterusan.

“Sektor perkhidmatan berkembang 6.4 peratus dengan pengembangan dalam semua subsektornya manakala, sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan yang mampan sebanyak 5.2 peratus disokong oleh prestasi lebih kukuh dalam pengeksportan kluster elektrik dan elektronik iaitu pada kadar 9.6 peratus.

“Penggunaan swasta berkembang pada kadar lebih kukuh sebanyak 7.8 peratus, didorong keadaan pasaran pekerja yang stabil dengan guna tenaga yang mapan dan kadar pengangguran yang rendah,” katanya.

Zeti berkata, Malaysia mencatatkan kadar pengangguran yang rendah iaitu sebanyak 2.8 peratus, manakala inflasi sederhana kepada 2.8 peratus pada suku kempat 2014.

Malah, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi sepanjang 2014 meningkat sebanyak 6.0 peratus dengan 4.7 peratus pada 2013.

“Dalam keadaan harga minyak dunia yang terus mencatatkan penurunan, ia memberi kesan positif kepada pendapatan boleh guna isi rumah di mana kira-kira sebanyak RM7.5 bilion dijangka dicatatkan pada 2015,” katanya.

Menurutnya, kadar inflasi dicatatkan sederhana kepada 2.8 peratus pada suku keempat 2014 dan ia dijangka lebih rendah pada tahun ini berikutan jangkaan harga minyak yang lebih rendah.

“Namun, ia turut memberi kesan kepada aktiviti pelaburan khususnya dalam sektor minyak dan gas,” katanya.

Malaysia mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) bersih sebanyak RM10.2 bilion berbanding RM7.7 bilion pada suku ketiga 2014 dan mencatatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM35.1 bilion bagi sepanjang tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 9:41 AM