AFP

Ponte Vedra Beach: Kevin Na mengharungi pusingan kedua dengan cemerlang apabila memadam tiga bogey dengan enam birdie untuk mengumpul tiga di bawah 63 sekali gus berkongsi kedudukan selaku pendahulu Kejohanan Players.

Begitupun, catatan tidak menentu Na di Lapangan Stadium itu membolehkannya berkongsi pendahuluan dengan seorang lagi pemain Amerika Syarikat Jerry Kelly yang melakar tujuh di bawah 65 untuk mengumpul keseluruhan lapan di bawah 136.

Pemain Afrika Selatan Branden Grace mencatat lima di bawah 67 untuk berkongsi tempat ketiga dengan enam di bawah par keseluruhan. Turut berada di kedudukan ketiga ialah David Hearn (71), Chris Kirk (68) dan Rickie Fowler (69).

Pemain nombor satu dunia, Rory McIlroy sekadar mencatat satu di bawah 71 untuk mengumpul empat di bawah par sepanjang aksi 36 lubang manakala juara dua kali, Tiger Woods membenam birdie di lubang kesembilan untuk melepasi cut. Woods mencatat 71 untuk keseluruhan 144 pukulan.

Sudah dua kali dalam tempoh empat tahun Na memulakan kejohanan dengan 67-69 pukulan. Pada 2012, dia berkongsi pendahuluan dengan Zach Johnson serta Matt Kuchar.

Na mendahului Kuchar dengan kelebihan satu pukulan ketika memasuki hari keempat tetapi dia bergelut apabila mencatat 76 pukulan sekali gus menamatkan saingan di tempat ketujuh.

Na mula bermain di sebelah pagi dan catatannya tidak menentu di beberapa lubang pertama. Dia gagal mendaratkan bolanya di green di lubang pertama dan mencatat bogey. Na menutup kelemahan itu dengan birdie dari jarak 17 kaki di lubang kedua serta satu lagi birdie di lubang ketiga.

Di lubang keempat, Na sekali lagi mencatat bogey sebelum birdie di lubang kelima. Lima lubang berikutnya, dia mencatat par sebelum muncul satu lagi bogey di lubang ke-14 tetapi dia berjaya menutup kelemahan dengan tiga birdie di sembilan lubang kedua.

“Saya bermain baik tetapi ada beberapa masalah di kotak tee. Pukulan saya tidak begitu menjadi tetapi secara keseluruhan saya gembira dengan pencapaian ini,” kata Na.

“Beberapa pukulan drive saya agak tersasar tetapi selepas dua atau tiga lubang, saya mual mendapat rentak.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 10:00 AM