Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Orang kurang upaya (OKU) perlu menunjukkan sijil yang dikeluarkan badan kebajikan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapat pelepasan GST ketika membeli alat bantuan OKU.

Pengarah GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk T Subromaniam berkata, alat bantuan untuk OKU seperti kerusi roda, alat bantuan pendengaran, tongkat, kasut khas dan alat bantuan penglihatan memang dikenakan GST.

"Tetapi OKU boleh mendapatkan pelepasan dengan menunjukkan sijil berkenaan kepada peniaga untuk menikmati kemudahan itu.

"Dalam Akta GST memang ada peruntukan ini tetapi ada yang tidak sedar jadi peniaga juga perlu peka mengenai perkara ini dengan memberikan pelepasan sekiranya ada OKU mengemukakan sijil berkenaan ketika membeli peralatan terbabit," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Selain itu, Subromaniam berkata, GST tidak terpakai kepada pembekalan kerajaan persekutuan negeri, bagaimanapun aktiviti perniagaan yang dibekalkan adalah tertakluk kepada GST.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 2:10 PM