Oleh Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengeluarkan tujuh notis siasatan kepada peniaga dan syarikat di sekitar Lembah Klang, berhubung aduan berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) hari ini.

Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, tempoh tiga hari itu bermula hari ini bagi membolehkan peniaga dan syarikat memberikan penjelasan mengenai perkara itu.

"Daripada tujuh notis itu, empat adalah berkaitan aduan kad prabayar manakala tiga daripadanya pelbagai termasuk aduan berhubung tanda harga.

"Selepas tiga hari tempoh itu, jika didapati bersalah ia akan ditentukan sama ada mengikut Akta Anti Pencatutan 2011 atau Akta Perihal Dagangan 1972," katanya pada sidang media mengenai GST di sini, hari ini

Hadir sama, Pengarah Bahagian GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk T Subromaniam.

Alias berkata, bermula jam 8 pagi hingga 2 petang hari ini, Pusat Gerakan Anti Pencatutan (PGAP) menerima 419 aduan dan pertanyaan mengenai GST.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 6:24 PM