Rohani (empat dari kiri) menerima cenderamata daripada Chew (dua dari kanan) selepas merasmikan buku Happy Meal McDonald’s.
Rohani (empat dari kiri) menerima cenderamata daripada Chew (dua dari kanan) selepas merasmikan buku Happy Meal McDonald’s.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Golden Arches Sdn Bhd, pengurus rangkaian McDonald’s Malaysia memperuntukkan modal antara RM50 juta hingga RM100 juta bagi membuka cawangan barunya tahun ini.

Pengarah Urusan McDonald’s Malaysia Stephen Chew berkata, setakat ini pihaknya mempunyai 265 cawangan restoran dan membuka lebih kurang 14 rangkaian baru pada tahun lalu.

Katanya, pihaknya menjangka membuka 10 lagi restoran McDonald’s pada tahun ini dengan pelaburan bagi satu cawangan dianggarkan antara RM5 juta hingga RM10 juta.

“Jumlah pelaburan bagaimanapun bergantung kepada saiz dan lokasi restoran yang akan dibuka. Sekarang lokasi masih dalam pemilihan membabitkan seluruh negara.

“Bagi pertumbuhan jualan tahun ini pula, kami menyasarkan mencapai peningkatan satu angka dan berusaha untuk memastikan McDonald’s turut menyumbang dalam tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya selepas pelancaran Program Buku Happy Meal McDonald’s oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim di sini, semalam.

Sementara itu, Chew berkata, program baru yang diperkenalkan McDonald’s itu mempunyai beberapa siri dan bertujuan menggalakkan tabiat membaca dalam kalangan generasi muda.

Menurutnya, McDonald’s juga bekerjasama dengan penulis tempatan bagi menghasilkan buku lebih kreatif serta kandungan menarik.

“Setakat ini, kami menjalin kerjasama dengan enam penulis tempatan dan mempelawa mereka yang berminat turut serta dalam program ini.

“McDonald’s juga menyumbang 10,000 naskah Buku Happy Meal kepada organisasi kebajikan dan rumah anak yatim. Akhir tahun ini, McDonald’s akan melancarkan lagi siri baru Buku Happy Meal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 7:58 AM