LAT (kiri) menyampaikan lukisan karikatur kepada Azmir pada pelancaran Burger Syok di Putrajaya.
LAT (kiri) menyampaikan lukisan karikatur kepada Azmir pada pelancaran Burger Syok di Putrajaya.

Putrajaya: Restoran perkhidmatan segera, McDonald’s Malaysia kembali dengan kempen ‘Discover the World’ buat kali kedua dengan menampilkan Burger Syok yang boleh didapati di semua rangkaian mulai 22 Ogos hingga 16 September depan.

Burger Syok diinspirasikan daripada keistimewaan yang sinonim dengan rakyat Malaysia iaitu kegemaran kepada sebarang hidangan pedas.

Menerusi pelancarannya semalam, McDonald’s turut bekerjasama dengan kartunis terkenal tanah air, Datuk Lat dan melalui inisiatif ini, karya beliau akan ditampilkan di rangkaian restoran itu di seluruh negara selain menjadi tema bagi kotak bungkusan Burger Syok.

Pengarah Urusan McDonald’s Malaysia Azmir Jaafar berkata, Lat menjadi pilihan kerana kebanyakan rakyat negara ini membesar dengan karya beliau selain peluang kepada peminat melihat gambaran diri menerusi hasil seni berkenaan.

“Bagi pihak McDonald’s Malaysia, kami bertapak di sini lebih 34 tahun dan melakar pelbagai pengalaman manis bersama pelanggan.

“McDonald’s berkembang menjadi antara restoran paling digemari jadi, kerjasama ini disifatkan sungguh bermakna tatkala kami berusaha menyatukan rakyat Malaysia menerusi cita rasa dan minat yang sama,” katanya pada pelancaran Burger Syok di McDonald’s Putrajaya, Presint 2 di sini semalam.

Pada masa sama, Azmir berkata, langkah yang dilaksanakan itu sesuai dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bakal disambut tidak lama lagi.

Burger Syok adalah hidangan dengan gandingan isi paha ayam panggang empuk, limpahan sos ‘syok’ pedas dan sayur campuran segar diapit dengan roti bijan.

Ia boleh didapati dengan harga RM11.95 (Ala carte) serta RM14.99 (set) dengan kentang goreng dan minuman Frozen Fanta.

Semasa pelancaran semalam, turut berlangsung karnival sempena pembukaan restoran cawangan Putrajaya yang turut dihadiri Lat sekali gus membolehkan peminat beramah mesra dan menonton lakaran karakter kartun secara langsung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2016 @ 5:30 AM