Aplikasi permainan berasaskan pengumpulan kad adiwira semakin popular masa kini. HAZRIL MDNOR percaya Marvel Future Fight ada sentuhannya tersendiri yang menjanjikan kepuasan kepada semua pemain.

Masih ingatkah kita aplikasi permainan Injustice: Gods Among Us? Permainan yang dicipta NetherRealm Studios itu turut dialihkan bagi kesesuaian telefon pintar di pelantar Android dan iOS pada 2013 lalu. Berbekalkan ciri permainan yang memfokuskan pengumpulan kad watak adiwira daripada komik DC, ia menjanjikan kepuasan kepada setiap pemain.

Kini selepas saja filem Avengers: Age of Ultron ditayangkan di pawagam, kita disajikan pula dengan aplikasi permainan berkonsepkan adiwira iaitu Marvel Future Fight. Sama konsepnya seperti Injustice, Future Fight keluaran Netmarble di pelantar Android ini memberikan pemain kebebasan mengumpul kad yang terdiri daripada hero dan penjahat dalam ruang utopia Marvel.

Terdapat pelbagai mod perlawanan, namun ada antaranya memerlukan akses terlebih dulu. Antaranya, perlawanan yang membabitkan tiga lawan tiga, misi ‘Dimensions Rift’ untuk diteroka, misi ‘Villain Siege’ menentang kuasa jahat dan banyak lagi.

Semasa dalam perlawanan, anda boleh melakukan gandingan gerakan bersama dua lagi karakter. Jika anda menggunakan karakter sampingan pada saat sesuai, ia boleh menghasilkan ‘combo’ terbaik. Anda juga berkebolehan menggunakan kuasa sebagai satu pasukan iaitu ‘Striker’ yang bertujuan memanggil adiwira milik kenalan anda untuk membantu dalam misi.

Menariknya mengenai permainan ini, kad yang berada dalam genggaman anda boleh dinaik taraf kekuatannya menggunakan ‘gems’ yang diperoleh apabila anda melakukan transaksi wang. Pengumpulan Biometriks mampu memberikan akses kepada anda menaik taraf kelengkapan dan kekuatan setiap adiwira.

‘Gems’ juga membolehkan anda membeli apa saja kelengkapan ataupun kostum untuk meraih kepuasan bermain. Bagaimanapun, jika anda tidak gemar melaburkan wang dalam aplikasi permainan, anda boleh mendapatkan kelengkapan itu dengan terus bermain.

Aplikasi ini juga turut menampilkan sistem tenaga yang kerap kali digunakan dalam ‘mobile brawler’. Setiap kali anda memasuki mod permainan berseorangan ataupun bertanding dengan pemain lain, jumlah tenaga anda akan berkurangan. Bagaimanapun, jika anda tidak suka menunggu, boleh menggunakan ‘gems’ untuk memenuhkan kembali tenaga.

Dari segi konteks dan plot yang dibawakan Future Fight, anda mengikuti perjalanan adiwira Marvel dalam usaha menghalang kuasa jahat yang merancang untuk memusnahkan seluruh galaksi. Kapten Nick Fury menghantar robot Jocasta kembali ke masa lampau untuk membantu pasukan anda dalam misi ditugaskan dan memikirkan apa sebenarnya yang terjadi.

Pada permulaan permainan, anda diberikan sepasukan adiwira yang sememangnya menjadi ikon Marvel iaitu Captain America, Black Widow dan Iron Man.

Kesudahannya, anda mampu mengumpulkan hampir 40 jenis karakter dalam ruang utopia Marvel termasuklah Spider-Man, Ghost Rider, Venom, Loki dan ahli pasukan Guardians of the Galaxy. Ia tidak terhenti begitu saja kerana penulis percaya pengeluar akan menambahkan lebih banyak karakter dalam setiap ‘update’ terbaru.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 11:47 AM