BELI dron, baca buku online, kamera boleh dilakukan dengan duit raya.
BELI dron, baca buku online, kamera boleh dilakukan dengan duit raya.
Oleh Afiq Hanif

Selepas dua minggu berhari raya, pasti banyak aktiviti ziarah menziarahi berjaya terlaksana. Bagi kanak-kanak dan remaja yang tidak berkahwin, pasti lebih untung dengan habuan duit raya diterima.

Pastinya, didikan awal pada peringkat usia mengenai pentingnya nilai wang perlu dipupuk sekali gus membolehkan kanak-kanak dan remaja ini mendapat gambaran awal mengenai pentingnya pengurusan wang secara berkesan.

Namun pada masa sama, kita boleh menyemai budaya cintakan teknologi de­ngan duit raya terbabit sekali gus memberi pendedahan awal inovasi kepada golongan ini.

Terlebih dulu, kemung­kinan IT@Metro boleh mencadangkan pembahagian duit raya terbabit kepada dua bahagian: satu untuk simpanan dan satu lagi untuk pembelian atau pelaburan dalam teknologi.

Ya, jika anda tidak mempunyai anak dan masih menerima duit raya, anda mung­kin boleh menerima idea membelanjakannya.

Sekiranya duit raya anda kurang dari RM100?

Anda boleh membeli membeli beberapa buku online di setor aplikasi seperti Google Play dengan harga berpatutan.

Misalnya, satu buku ha­nya berharga RM13 hingga RM40 saja, jadi anda berpeluang mendapatkan dua atau tiga buku untuk dimanfaat­kan.

Lebih menarik, selalunya terdapat tawaran pembelian buku melalui aplikasi dan anda boleh jimat sehingga 50 peratus jadi manfaatkan peluang terbabit.

Ok, anda sudah membeli dua buku misalnya dan mempunyai lebihan wang mungkin dalam anggaran RM50, apa yang boleh dilakukan?

Tiba masanya meluaskan empayar Clash of Clans anda dengan pembelian ‘gems’ Pirate Flag, Mighty Statue atau Builder’s Huts, malah ia sudah cukup membeli sumber seperti Gold, Elixir atau Dark yang disediakan permainan popular ini.

Sejumlah 1,200 gems contohnya berharga AS$9.99 atau kira-kira RM40 sekarang.

Anda memperoleh RM200, apa yang boleh dilakukan?

Rokus LT. Sejenis kotak ‘set-up’ dengan keupayaan WiFi yang membolehkan anda strim kepada pe­ngeluar kandungan seperti Netflix, Hulu dan banyak lagi.

Bagaimanapun, anda memerlukan sedikit konfigurasi sekiranya mahu memasang kandungan seperti Netflix terbabit.

Selepas itu, jangan pula terlalu leka berhibur dengan filem atau siri TV kerana ia juga mempunyai siri dokumentari yang tidak dapat ditonton di Malaysia.

Tetapi sebelum itu, pastikan anda mempunyai jalur lebar dan TV HD terlebih dulu.

Selain Roku, anda boleh membeli papan kekunci kalis air yang disambungkan melalui bluetooth ke telefon pintar bertujuan menjadikan aktiviti anda lebih produktif.

Terdapat kajian menunjukkan penggunaan papan kekunci lebih efisien untuk membuat kerja harian dalam telefon anda dan pastinya papan kekunci kalis air sangat bertepatan kerana ia lasak dan mudah dibawa ke mana saja.

Apa yang boleh dibeli dengan RM300?

Biasanya dengan nilai sebegini anda boleh memulakan hobi berkaitan teknologi seperti dron yang semakin popular.

Model seperti Hubsan X4 misalnya membolehkan anda mendapatkan dron lengkap dengan kamera jenis 720p untuk rakaman pemandangan yang menarik.

Manfaatkan hobi teknologi ini dengan menyunting pula video menarik yang dirakam menggunakan pula aplikasi suntingan diperoleh secara percuma.

Kalau tidak pun, anda boleh membeli pula kamera lasak seperti SJ6000 yang ada dijual pada harga diskaun sehingga RM200 di laman e-dagang tertentu.

Kemudian, anda boleh membuat rakaman keluarga dan rakan sebelum menyimpannya bagi memori di kemudian hari.

Bagaimana pula dengan RM400?

Tiba masa anda mengemas kini peranti anda de­ngan melengkapnya dengan gajet tambahan seperti setoran luar bagi komputer dan telefon.

Dengan harga RM400, cukup untuk membeli kedua-dua setoran luar bagi komputer dan telefon pintar dengan jumlah kapasiti keseluruhan dianggarkan 1.2TB.

Malah dengan nilai sama, anda mungkin boleh menambah siri baru permainan konsol anda yang baru dikeluarkan.

Jika anda melawati kedai elektronik seperti Radioshack pula, terdapat banyak set seperti kit membuat sistem solar dan memasang tenaga sendiri yang dijual.

Ia sudah cukup membantu menanam minat sekurang-kurangnya kepada remaja untuk mendalami sains dan teknologi.

Peringkat umur ini bukanlah terlalu awal untuk menyemai tabiat terbaik menguruskan duit raya yang ada.

Membelanjakan sedikit dari hasil terbabit untuk tek­nologi mungkin berbaloi dan mendatangkan manfaat pada masa akan datang.

Siapa tahu, ia pemangkin untuk anda atau anak menjadi pencetus teknologi seperti Bil Gates yang menjadikan teknologi itu sebagai hobi dan bermula dari bawah?

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2015 @ 1:08 PM