Watak utama yang kuat dan lengkap pastinya memuaskan hati setiap pemain. HAZRIL MD NOR kongsikan tiga jenis permainan yang popular dalam arena Role Playing Game.

Tema permainan berkonsepkan Role Playing Game (RPG) sememangnya popular. Lihat saja keluaran Final Fantasy yang mendominasi pasaran antarabangsa selama bertahun-tahun lamanya. Kali ini, Gen Y ingin memfokuskan permainan genre RPG yang mengutamakan aksi dan corak permainan lebih ekstrem yang dikeluarkan di pelbagai pelantar.

Diablo III

Ia bukanlah judul yang asing dalam arena permainan video. Konsep ditawarkan ekstrem dan menitikberatkan keseronokan bersama pemain lain menjadikan Diablo 3 antara permainan video paling popular dan menduduki tangga teratas dalam kategori ‘hack’ & ‘slash’.

Keluaran ketiga oleh Blizzard Entertainment ini menandakan persinggahan dari grafik generasi dulu yang tidak menyokong paparan definisi tinggi (HD). Setiap hidupan dan karakter dalam Utopia Diablo 3 diberi sentuhan estetik dan lakaran mengagumkan sekali gus menghidupkan suasana dalam permainan berkenaan.

Pada permulaan permainan, anda bebas memilih enam jenis karakter utama yang setiap satunya mempunyai set kuasa berlainan. Berkisarkan perjalanan watak utama merungkai misteri di Sanctuary, pemain perlu berdepan dengan pelbagai musuh dalam lima jenis alam diterokai.

Menariknya mengenai Diablo 3, anda bebas menggayakan karakter mengikut kesesuaian dan kekuatan ‘stat’ yang terdapat pada setiap kelengkapan. Terdapat juga sistem ‘skill rune’ yang membolehkan pemain mengubah suai kuasa mengikut kesesuaian dan kesukaran yang dihadapi. Seperti keluaran sebelumnya, fungsi ‘quick bar’ turut hadir memberikan keselesaan kepada pemain mengakses kuasa kegemaran dengan lebih mudah.

Torchlight II

Bukan hanya Diablo 3 yang meniti di bibir pemain yang menggemari genre Role Playing Game (RPG). Torchlight 2 keluaran Runic Games mungkin dilihat mengutarakan konsep yang sama dengan keluaran terulung Blizzard itu namun ia tetap dalam liga tersendiri.

Dengan memfokuskan permainan berkonsepkan penerokaan kawasan dikenali sebagai ‘dungeon’, dunia Torchlight 2 ternyata kaya dengan hidupan mistik dan haiwan ganas yang memberikan pemain ‘experience’ dan ‘loot’ sebagai ganjaran utama. Berbanding generasi sebelumnya, keluaran kedua ini ditambah baik kandungannya dan memaparkan lebih banyak bandar kecil dan mod perseorangan yang lebih lama.

Tidak seperti Diablo 3, pemain bebas menukar warna dan gaya rambut serta jenis muka yang diinginkan. Terdapat juga fungsi menarik seperti haiwan peliharaan yang boleh menolong anda sepanjang penerokaan serta mewarisi kebolehan untuk bertukar menjadi haiwan ganas. Penukaran bergantung pada jenis ikan diberikan yang diperoleh melalui sistem memancing.

Permainan ekstrem ini turut memaparkan karakter yang hebat iaitu Engineer, Outlander, Berserker dan Embermage. Setiap watak ini boleh diubahsuai kelengkapannya yang kemudian menentukan kekuatan ‘stat’ anda. Turut hadir ialah sistem ‘multiplayer’ yang membenarkan pemain meneroka utopia Torchlight 2 bersama rakan.

Path of Exile

Sebut saja Path of Exile (POE), ramai yang menyamakan ia dengan Diablo 2 kerana konsep permainannya yang hampir sama. Namun, apa yang pasti POE tetap mempunyai identiti sendiri. Keluaran Grinding Gear Games pada tahun 2013 ini mungkin sudah agak lama namun ia sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa.

Seperti Diablo 2, anda memilih seorang watak utama dan perlu berdepan dengan musuh dalam pelbagai bentuk. Dalam sesuatu kawasan, setiap musuh boleh muncul kembali pada masa tertentu yang tentunya menggalakkan mod permainan berulang. Sebanyak enam karakter boleh digunakan iaitu Witch, Templar, Shadow, Ranger, Marauder dan Witch. Karakter istimewa Scion hanya boleh digunakan selepas pemain menghabiskan mod normal.

Dalam aspek kuasa pula, POE menekankan konsep fleksibiliti yang memberikan kebebasan pemain menggunakan kuasa di luar teras utamanya. Sistem ‘stat’ juga dilihat lebih kompleks kerana mempunyai banyak cabang yang setiap satunya memberi kekuatan berbeza contohnya menambahkan jumlah nyawa atau mana dan kekuatan serangan.

Ciri paling istimewa sudah tentunya fungsi ‘support gem’ yang boleh diletakkan pada kelengkapan dengan soket. Ciri ini membolehkan serangan ataupun kuasa mengalami transformasi dari segi kelajuan, kekuatan, penyedut nyawa dan lain-lain. Ia secara tidak langsung menggalakkan pemain menukar corak permainan mengikut cita rasa sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 7:49 AM