Zaman berubah pastinya memberi impak kepada cara hidup. SHUHADA MANSOR senaraikan jenis bahan bacaan pilihan remaja sekarang yang mungkin berbeza bentuk tetapi maklumatnya tetap sama.

Bukan saja buku tetapi bahan bercetak seperti akhbar juga mengalami masalah untuk mencuri perhatian generasi muda.

Ini disebabkan pelbagai landasan lain boleh kita cari untuk mendapatkan ilmu pengetahuan selain daripada buku yang diberikan di sekolah ataupun institusi pengajian . Gen Y senaraikan beberapa jenis bahan bacaan lain yang menjadi pilihan remaja masa kini.

E-buku

Buku elektronik bukanlah sesuatu yang baru kerana ramai antara kita memilih untuk menggunakan E-buku berbanding buku dicetak. E-buku adalah medium penyampaian maklumat merujuk kepada penggunaan data elektronik dalam bentuk digital. Meskipun ia diakses menerusi gajet, ia juga mengandungi muka surat membolehkan pembaca menerima, membeli dan membacanya melalui peranti khas atau komputer.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), pada 2012 dilaporkan PNM menerima sebanyak 136 e-buku dan bilangan itu bertambah setiap tahun. Selain itu, jumlah pengunjung ke PNM tahun terbabit juga menunjukkan pening­katan berbanding tahun sebelumnya iaitu 420,171 orang.

Kenapa ia menjadi pilihan remaja? Ini kerana ia mempunyai banyak kelebihan kepada kita untuk membawa ke mana saja tempat tanpa beban yang berat. Disebabkan ia adalah data elektronik, saiz dan berat e-buku adalah jauh lebih ringan jika dibandingkan dengan buku cetakan yang berada di pasaran.

Zine

Penulisan yang santai dan cara penulis berkongsi maklumat dengan pembaca menggunakan gaya sendiri menjadikan zine salah satu kategori bahan bacaan remaja. Zine ringkasan kepada perkataan ‘fanzine’ atau ‘magazine’ semakin mendapat perhatian anak muda yang sukakan kebebasan dalam bersuara.

Bahan bacaan ini bersifat bebas kerana ia diterbitkan sendiri dalam kuantiti kecil. Penerbitan yang asli mengikut kemahuan pengkarya itu sendiri selalunya berkisar mengenai sesuatu topik sama ada muzik, acara, hobi, minat dan sebagainya.

Selain harganya yang murah kerana penghasilan menggunakan mesin cetak ataupun ditulis tangan dan dicetak tanpa warna, sifatnya yang bebas daripada sebarang etika penulisan media menarik minat anak muda. Ada kalanya elemen perbincangan diwujudkan dan sesuatu topik itu diteruskan pada cetakan seterusnya.

Bahan picisan

Istilah bahan picisan merujuk­ kepada bahan bacaan yang tidak bersifat ilmiah. Bagaimanapun, bahan picisan inilah menjadi kegilaan remaja sama ada pada usia muda hinggalah ke pering­kat dewasa. Komik, majalah hiburan atau sumber bacaan santai yang dapat mengisi masa lapang antara koleksi bacaan remaja masa kini.

Kita mungkin akan disogokkan dengan bahan bacaan ilmiah dan buku sekolah tetapi bahan picisan inilah yang akan meringankan fikiran sebelum kembali fokus kepada pelajaran.

Mengumpul komik contohnya, mungkin akan dianggap pelaburan yang sia-sia tetapi bagi yang meminatinya, ia sesuatu yang menyeronokkan selain memberi kepuasan. Ini kerana, ia mempunyai jalan cerita,tip ataupun topik tersendiri selain dipelbagaikan dengan ilustrasi gambar berwarna-warni.

Media sosial

Media sosial menjadi rujukan utama sekiranya berlaku sesuatu isu atau tragedi. Blog, berita portal dan majalah atas talian terletak di dalam kelas tertinggi pilihan anak muda. Pun begitu, Facebook kini semakin kurang diminati generasi muda kerana kita akan lebih tertarik dengan jaringan sosial terbaru lain bersifat sederhana seperti Twitter dan Snaphat.

Kajian diketuai pakar antropologi, Profesor Daniel Miller dari Kolej Universiti London menjelaskan, anak muda zaman sekarang lebih memilih menggunakan media sosial yang berkualiti untuk menjaga profil dan tahap populariti. Ini kerana Facebook ketika ini lebih banyak digunakan oleh orang tua dan kemungkinan iba bapa kita juga memiliki akaun mereka sendiri.

Selain daripada maklumat yang boleh ditokok tambah, remaja akan cuba mencari dan membandingkan sumber rujukan sehingga kita benar-benar berpuas hati dengan sesuatu isu yang dibincangkan. Berbanding naskhah buku, media sosial lebih cepat menyebarkan sesuatu maklumat, selain kita juga boleh menyuarakan pendapat secara terus.

Revolusi bahan bacaan semakin berkembang, namun kita sendiri perlu ‘tapis’ segala maklumat diterima sebelum terus bersetuju dengan sesuatu pendapat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 11:16 AM