Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Apabila menyebut mengenai rumah mampu milik iaitu Perumahan Rakyat 1Malaysia Bhd (PR1MA), perkara yang timbul di fikiran adalah ia wujud untuk membantu rakyat memiliki rumah dengan harga lebih rendah daripada harga semasa pasaran.

Rumah PR1MA yang terletak dalam kawasan berkomuniti mempunyai pelbagai jenis dan saiz dengan harga antara RM100,000 dan RM400,000 serta terletak di pelbagai lokasi seluruh negara.

Kediaman mampu milik itu ditawarkan kepada semua rakyat Malaysia dengan pendapatan isi rumah purata bulanan antara RM2,500 hingga RM10,000.

Namun, dengan kos sara hidup hari ini yang semakin meningkat menjadikan orang ramai sukar untuk memiliki rumah walaupun ia berada di dalam lingkungan harga mampu milik.

Ketua Pegawai Operasi PR1MA, Aminuddin Abdul Manaf berkata, pihaknya masih mengekalkan harga siling jualan kediaman di bawah kelolaannya di bawah RM400,000, tetapi membuat pemantauan secara berterusan mengenai pelbagai aspek yang boleh mempengaruhi jualan kediaman semasa.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa melaksanakan pelan pembangunan kediaman secara inovatif bagi berdepan cabaran kenaikan kos pembinaan bagi membolehkan harga siling jualan serta golongan yang layak memilikinya kekal.

“Kita masih mengguna pakai kaedah pengiraan 30 peratus daripada pendapatan bulanan isi rumah sebagai kayu ukur kemampuan orang ramai untuk memiliki rumah.

“Misalnya, bagi seseorang yang mempunyai pendapatan RM2,500 sebulan maka kemampuannya untuk membayar komitmen ansuran bulanan kira-kira RM850 sebulan,” katanya kepada Bisnes Metro.

Setakat April 2015, lebih 980,000 pembeli berminat untuk memiliki rumah PR1MA berdaftar di bawah Sistem Pendaftaran Nasional.

Aminuddin berkata, kerjasama antara kerajaan dan pihak swasta (PPP) penting bagi membolehkan kediaman mampu milik diteruskan dan menjadi tanggungjawab semua pihak.

Katanya, buat masa ini harga kediaman pihak swasta bersifat pasaran bebas yang tidak mempunyai harga siling, tetapi di peringkat PR1MA harga siling yang ditetapkan adalah RM400,000.

Ketika diminta mengulas mengenai kemampuan untuk mendapatkan pembiayaan, katanya, isu pembiayaan adalah antara perkara penting dan PR1MA memperkenalkan satu pakej jualan serta pembiayaan pada tahun ini bagi membantu orang ramai memiliki kediaman mereka.

“Sememangnya ketika ini untuk mendapatkan pembiayaan adalah sukar dan kita ingin menjadikan PR1MA bukan saja sebagai entiti menyediakan kediaman mampu milik tetapi membantu mereka memiliki rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 7:52 AM