Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pasaran hartanah tempatan dijangka kekal mencabar tahun ini berikutan keadaan ekonomi domestik dan global yang masih tidak menentu.

Bagaimanapun, sektor hartanah dijangka berkembang secara sederhana dengan kelembapan masih terkawal terutama bagi subsektor kediaman, didorong penawaran projek perumahan mampu milik.

Antara agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk menyediakan perumahan mampu milik untuk rakyat ialah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang begitu komited untuk membina 500,000 unit rumah harga berpatutan untuk golongan pertengahan, M40 di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, PR1MA amat peka dan sentiasa berusaha bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mampu memiliki kediaman sendiri.

Berikutan itu, menurutnya, PR1MA melancarkan pelbagai inisiatif bagi membantu memudahkan proses pemilikan rumah terutama kepada golongan M40 yang layak untuk membeli rumah PR1MA.

“Antaranya ialah kelayakan pendapatan maksimum untuk membeli kediaman PR1MA sudah dinaikkan sehingga RM15,000 sebulan untuk seisi rumah daripada RM10,000 sebelum ini.

“Selain itu, tempoh moratorium yang dikenakan kepada pemilik kediaman PR1MA juga dikurangkan daripada 10 tahun kepada lima tahun saja,” katanya.

Beliau berkata, semua inisiatif dilaksanakan itu diharap dapat menggalakkan lebih ramai golongan berpendapatan pertengahan untuk memiliki kediaman sendiri dan penjanaan kekayaan atau ‘wealth creation’ dalam kalangan mereka.

Katanya, pada 2015, PR1MA bekerjasama dengan beberapa bank untuk memberi pinjaman akhir sehingga 110 peratus dan inisiatif yang terbaru ialah Skim Pembiayaan Fleksibel (SPEF) PR1MA yang dapat meningkatkan kemampuan membeli rumah terutama pembeli rumah pertama.

Menurutnya, mandat yang diamanahkan kepada PR1MA bukan hanya tertumpu pada aspek fizikal pembinaan 500,000 unit kediaman di seluruh negara semata-mata, malah turut membabitkan elemen lain yang dapat membantu mewujudkan sebuah komuniti yang harmonis.

“Berikutan itu, PR1MA juga menyediakan program mesra komuniti apabila kawasan kediaman dibangunkan itu diduduki sepenuhnya.

“Antaranya ialah PERMATA-PR1MA, satu inisiatif antara Bahagian PERMATA Jabatan Perdana Menteri dan PR1MA untuk pembangunan sosial yang berfokuskan kepada pembangunan pendidikan kanak-kanak dan remaja,” katanya.

Beliau berkata, projek PR1MA terdapat di kawasan separa bandar dan juga perbandaran yang baru dimajukan dan setakat ini, lima lokasi paling banyak kediaman PR1MA adalah di Selangor, Sabah, Melaka, Johor dan Perak.

“Setakat Januari lalu, sejumlah 260,188 unit kediaman sudah diluluskan Anggota Perbadanan PR1MA dan sebanyak 132,352 unit kini dalam pelbagai peringkat pembinaan dan setakat Januari juga, hampir 10,000 unit sudah siap dibina dan akhir tahun ini, PR1MA menyasarkan untuk menyiapkan 5,000 unit kediaman lagi.

“Kediaman mampu milik PR1MA adalah khusus bagi golongan berpendapatan pertengahan dan berharga antara RM100,000 hingga RM400,000 di mana kediaman PR1MA secara purata berharga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2017 @ 5:49 AM