KENDERAAN EV COMOS
KENDERAAN EV COMOS

Syarikat perkongsian kenderaan elektrik (EV), CMS Consortium Sdn Bhd kini bersedia memperkenalkan program pertama bermula bulan depan melalui Mobiliti Penyelesaian Padu (COMOS) dengan 50 kenderaan EV yang terdiri daripada Nissan Leaf, Renault Twizy dan Renault Zoe.

Ia bermakna, warga kota bakal berpeluang untuk menyewa EV terbabit yang pertama kali diperkenalkan di Malaysia.

Pengerusi Eksekutif CMS, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir berkata, program itu yang dianggap antara pemangkin untuk pertumbuhan EV di Malaysia dengan hanya menggunakan aplikasi untuk menempahnya.

"Terdapat tiga cara mudah untuk menyewa kenderaan EV iaitu daftar, ambil kenderaan di stesen pengecas dan pulangkan di lokasi disediakan," katanya.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan menggalakkan penggunan pengangkutan awam di samping mengurangkan paras karbon dioksida (CO2) di kawasan bandar.

"COMOS bertujuan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan mengurangkan kesesakan lalu lintas bandar dengan menggunakan pengangkutan alternatif melalui konsep perkongsian kereta.

"Ia secara tidak langsung menggalakkan persekitaran hijau dan mengurangkan penggunaan bahan api," katanya. Sebelum ini, beliau memaklumkan, 60 stesen mengecas awam akan dipasang di hotel, pusat membeli-belah, bangunan pejabat dan hab pengangkutan awam sekitar Lembah Klang.

Ia kemudian akan dikembangkan di bandar lain termasuk Johor Bahru, Pulau Pinang dan Melaka.

Syed Zainal meramalkan pada 2015, jumlah pengguna boleh mencecah sehingga 5,000 dengan kemudahan 100 stesen mengecas di bandar terpilih.

"Pengguna perlu mendaftar dengan kami terlebih dahulu. Kad keahlian akan diberikan dan mereka boleh menggunakan kereta kami di lokasi tertentu," katanya.

Kadar bayaran sewaan COMOS dijangka sekitar RM20 hingga RM25 sejam, namun ia belum dimuktamadkan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 5:01 AM