KEADAAN pacuan empat roda yang dipandu mangsa hingga menyebabkan dia maut di Jalan Nyior Sebatang, Tasek Gelugor. FOTO IHSAN PDRM
KEADAAN pacuan empat roda yang dipandu mangsa hingga menyebabkan dia maut di Jalan Nyior Sebatang, Tasek Gelugor. FOTO IHSAN PDRM
Nur Izzati Mohamad


Tasek Gelugor: Tukang gunting rambut maut selepas pacuan empat roda dipandunya terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di Jalan Nyior Sebatang, di sini, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 1.10 pagi itu, mangsa S Manikandan, 40, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan mendapati mangsa memandu Toyota Hilux dari arah Sungai Dua menghala Pokok Sena.

"Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan dipandunya lalu melanggar sebatang pokok di tepi jalan.

"Mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 5:38 PM