PEMANDU Perodua Alza maut kereta dipandu bertembung lori. FOTO Ihsan Bomba
PEMANDU Perodua Alza maut kereta dipandu bertembung lori. FOTO Ihsan Bomba
Nur Izzati Mohamad


Tasek Gelugor: Seorang maut manakala dua lagi cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki dirempuh lori di Jalan Ara Kuda, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, pemandu MPV Perodua Alza, Mohamad Fikri Mohd Zuki, 27, disahkan meninggalkan dunia di lokasi kejadian selepas kenderaannya dirempuh lori Volvo tanpa muatan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dalam kenyataannya hari ini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan membabitkan kemalangan itu pada 12.09 tengah hari.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tasek Gelugor ke lokasi kejadian dan pemeriksaan mendapati tiga mangsa di dalam Perodua Alza dalam keadaan tersepit.

"Pemandu MPV disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan, manakala penumpang lelaki dan wanita yang cedera dihantar ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan.

"Maklumat mengenai pemandu lori tidak diketahui kerana tiada di tempat kejadian ketika anggota bomba tiba," katanya.

Menurut kenyataan itu, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan daripada kenderaan dinaiki pada 12.44 tengah hari.

"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya 1.37 tengah hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2022 @ 7:14 PM