Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Pelumba berbakat negara Ramdan Rosli terus melangkah setapak lagi dalam kariernya apabila beralih angin bersaing dalam kategori Moto2 Kejohanan Antarabangsa CEV FIM musim ini menjelang pembuka tirai di Portugal hujung minggu ini.

Pelumba pasukan PETRONAS AHM Malaysia itu yang sebelum ini bersaing dalam Moto3 selama setahun, diletakkan sasaran untuk menduduki kelompok penamat 10 terbaik pada saingan hujung minggu ini.

Ramdan yang sudah menjalani ujian jentera awal bulan ini, bekerja keras mempersiapkan diri kerana saingan Moto2 dijangka lebih mencabar.

“Saya rasa lebih selesa menunggang jentera Moto2 berbanding Moto3.

“Kami sudah menjalani ujian awal bulan ini dan segala-galanya nampak berjalan lancar. Saya tidak sabar untuk turun beraksi pada saingan pembuka tirai nanti,” katanya.

Sementara itu, Pengurus PETRONAS AHM Kenny Chua berkata, saingan Moto2 sememangnya lebih mencabar untuk Ramdan serta pasukan.

“Yang penting segala-galanya berjalan dengan lancar. Ramdan nampak lebih bersemangat dan mahu memberikan yang terbaik.

“Saya sendiri mengharapkan keputusan yang baik minggu ini kerana saya tahu Ramdan mampu melakukannya,” katanya.

Ramdan adalah antara bintang permotoran meningkat naik, mengikut jejak langkah pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah daripada Program Pembangunan Bakat PETRONAS.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 10:35 AM