HENDERSON
HENDERSON

London: Liverpool enggan mengulas mengenai laporan pemain tengah Jordan Henderson sudah mengikat kontrak baru lima tahun di kelab itu.

Beberapa akhbar melaporkan pemain kebangsaan England itu, kontraknya tamat pada musim panas 2016, sudah menandatangani perjanjian baru di Anfield dengan gaji £100,000 (RM540,000) seminggu.

Bagaimanapun, kelab itu menyatakan ia tidak akan mengulas berita mengenai pemain tengah berusia 24 tahun itu.

Selepas musim sulung yang sukar, Henderson muncul pemain utama buat Reds sejak perpindahan bernilai £20 juta (RM108 juta) dari Sunderland pada 2011 dan dia menjadi kapten apabila Steven Gerrard tidak bermain musim ini.

Ketika kapten semasa Liverpool itu akan berpindah ke Major League Soccer pada musim panas ini, Henderson dijangka mengambil alih lilitan di lengan itu secara tetap dan komitmen jangka panjang terhadap kelab itu mungkin menjadikannya pengganti legenda Anfield, Gerrard.

Kontrak pertahanan tengah Kolo Toure dan pertahanan kanan Glen Johnson turut berakhir di Liverpool hujung musim ini dan kedua-duanya dijangka meninggalkan kelab itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 7:50 AM