ANTARA yang ditahan AADK.
ANTARA yang ditahan AADK.
Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Seramai 90 orang termasuk lima wanita ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam 24 jam Ops Gegar di sekitar daerah ini berakhir 6 pagi tadi.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Suhaimi Abdullah berkata, hasil ujian saringan awal air kencing, 58 orang daripada mereka didapati positif dadah.

Beliau berkata, mereka yang ditahan berusia 16 hingga 60 tahun dan operasi berkenaan akan diteruskan di setiap daerah di negeri ini bagi membanteras penyalahgunaan dadah.

"Dalam Ops Gegar ini kita menumpukan operasi dengan mengesan penagih dari rumah ke rumah.

"Kita lakukan operasi hasil maklumat orang awam dan juga daripada keluarga penagih sendiri," katanya ditemui pada operasi berkenaan pagi tadi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) dan Seksyen 8 (3) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Sementara itu, seramai 75 anggota dan pegawai AADK terbabit Ops Gegar itu yang bermula 6 pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 2:12 PM