PENAGIH yang ditahan dalam Ops Perdana AADK Melaka, di Krubong.
PENAGIH yang ditahan dalam Ops Perdana AADK Melaka, di Krubong.
Nuraliawati Sabri

Melaka: Ada antara penagih dadah yang ditahan di negeri ini dipercayai membelanjakan sebahagian wang i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diperolehi untuk membeli bekalan dadah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, senario tangkapan yang meningkat kebelakangan ini berkemungkinan disebabkan ada antara penagih membelanjakan pengeluaran wang itu untuk membeli dadah.

Beliau berkata, dalam tempoh empat hari bermula 20 Mac (Sabtu) sehingga kelmarin, sebanyak 72 tangkapan dibuat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka dan 71 daripada mereka didapati positif dadah.

"Walaupun baru empat hari lokasi sama diserbu dan dibersihkan bersama pihak polis namun masih ada tangkapan tadi membabitkan seramai tujuh lagi penagih.

"Daripada tujuh yang ditahan itu, dua daripada mereka berusia 33 dan 36 tahun mengaku menggunakan lebihan wang i- Sinar untuk membeli dadah. Hanya sebahagiannya digunakan untuk keperluan lain seperti membeli motosikal dan memberi kepada ahli keluarga," katanya selepas Ops Perdana AADK Melaka yang turut dihadiri Pengarah AADK negeri Nazir Mohamad dan Penolong Pengarah Cawangan Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK negeri Norliya Darus, di Krubong, di sini, tadi.

Menurut beliau, dalam operasi empat jam bermula jam 2.30 petang, seorang lelaki berusia 49 tahun yang baru dibebaskan dari penjara turut ditahan.

"Sistem sedia ada kini adalah yang terbaik untuk pemulihan, penjagaan dan memberi rawatan kepada penagih. Namun ia bergantung kepada seseorang individu itu sendiri dalam memastikan diri mereka bebas daripada dadah," katanya.

Mengulas lanjut Rahmad berkata, sejak Januari hingga 24 Mac 2021 seramai 240 individu ditahan AADK dan daripada jumlah itu seramai 233 didapati positif dadah dan kesemua mereka berusia antara 13 tahun hingga 60- an.

"Daripada jumlah yang ditahan itu sembilan adalah wanita dan selain daripada operasi tangkapan dibuat juga hasil daripada aduan awam yang diterima AADK, kesemua mereka ini akan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

"AADK Melaka tidak pernah berhenti daripada melakukan operasi dalam usaha memerangi dadah walaupun kini berdepan dengan Covid-19 namun pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat berjaya menghalang berlakunya jangkitan antara individu yang ditahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 4:47 PM