JOKOWI (berkot) dan timbalannya, Jusuf Kalla (baju merah) bergambar dengan anggota Kabinet yang baru dilantik di Istana Merdeka, Jakarta, semalam.  - EPA
JOKOWI (berkot) dan timbalannya, Jusuf Kalla (baju merah) bergambar dengan anggota Kabinet yang baru dilantik di Istana Merdeka, Jakarta, semalam. - EPA
Reuters

Jakarta: Presiden Joko Widodo (Jokowi) semalam melantik pengarah urusan Bank Dunia, Sri Mulyani Indrawati sebagai menteri kewangan negara itu dalam rombakan kabinet yang bertujuan meningkatkan keberkesanan kerajaannya.

Bekas panglima tentera, Wiranto pula dilantik menggantikan Luhut Pandjaitan selaku Ketua Menteri Keselamatan.

Menteri yang bertanggungjawab terhadap perdagangan, tenaga dan industri juga antara yang digantikan.

Kabinet baru itu termasuk seorang anggota Golkar, parti kedua terbesar Indonesia yang menjadi pembangkang ketika Jokowi mula menjadi presiden selepas memenangi pilihan raya 2014.

Sri Mulyani mulanya ditawarkan jawatan dalam Kabinet ketika Jokowi merombak kali pertama barisan Kabinetnya, tetapi dia menolaknya.

Dia menyertai Bank Dunia pada 2010 selepas berkhidmat selaku ketua menteri ekonomi dan menteri kewangan dalam Kabinet bekas Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Sri Mulyani yang mempunyai PhD dalam ekonomi dari Universiti Illinois dan tidak menganggotai mana-mana parti politik dihormati kerana berjaya menguruskan ekonomi Indonesia ketika negara itu berdepan krisis kewangan global pada 2008.

Penganalisis berkata, rombakan semalam bermotifkan politik kerana Jokowi memerlukan sokongan padu daripada parti seperti Golkar yang berminat untuk menyertai kerajaan campurannya.

Bambang Brodjonegoro, menteri kewangan yang dilantik Jokowi pada 2014, dipindahkan untuk mengetuai agensi perancangan negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2016 @ 11:07 AM