CODY (kiri) miliki wajah seiras Paul (kanan).
CODY (kiri) miliki wajah seiras Paul (kanan).
BERSAMA Tyrese Gibson (dua dari kiri) dan Vin Diesel ketika penggambaran di Abu Dhabi.
BERSAMA Tyrese Gibson (dua dari kiri) dan Vin Diesel ketika penggambaran di Abu Dhabi.
CODY ketika penggambaran Fast & Furious 7.
CODY ketika penggambaran Fast & Furious 7.
Oleh Norhadiani Baharom


Mengagumi kehebatan lakonan abangnya mendiang Paul Walker dan sering teruja setiap kali abangnya bercerita pengalaman di set penggambaran terutamanya filem Fast & Furious, pasti Cody Walker, 27, terbeban apabila menjadi bidan terjun bagi menyudahkan pembikinan filem Fast & Furious 7.

Desakan yang berlaku disebabkan kematian Paul Walker dalam kemalangan di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 30 November 2013.

Ketika kejadian, Paul masih terikat dengan baki penggambaran Fast & Furious 7.

Sebagai teraju utama filem berkenaan yang ketika itu cuma berbaki 20 peratus untuk disiapkan, tanpa kehadiran Paul ia tetap merencatkan keseluruhan proses pembikinan filem berkenaan, sekali gus membuatkan jalan cerita tergantung.

Kerana kasih terhadap saudara kandungnya itu, Cody bersetuju menerima tawaran pengarah filem berkenaan, James Wan sekali gus mencabar dirinya beraksi dalam filem aksi cemas itu meski menyedari tiada sebarang pendedahan dalam lakonan.

Cody hadir di set penggambaran filem berkenaan kira-kira sebulan selepas Paul meninggal dunia dan ketika itu seluruh tenaga produksi sedang berduka. Kehadirannya diharapkan dapat membawa semangat baru buat mereka.

Wajah Cody yang saling tidak tumpah seperti Paul secara tidak langsung mengubat kesedihan yang ditinggalkan.

Rata-rata memuji lakonan Cody yang begitu komited dan sehabis baik setanding abangnya meskipun tiada sebarang pengalaman.

“Saya amat bimbang saat filem ini mahu dilancarkan, tetapi selepas menontonnya sendiri, saya yakin abang pasti gembira.

“Ini adalah sumbangan kecil saya sebagai tanda penghormatan juga kasih terhadapnya. Pastinya saya tidak mampu melakukan ini tanpa semangat beliau dan saya berterima kasih kepada Paul kerana dia sentiasa ‘ada’ bersama saya sepanjang penggambaran.

“Siri Fast & Furious adalah filem yang cukup peribadi buat Paul. Ini filem paling digemari dan saya harus melaksanakannya,” kata Cody.

Bagi James Wan pula, Cody adalah penyelamat untuk dia menyempurnakan baki penggambaran filem itu.

“Cody adalah semangat kami. Dia mempunyai aura yang sama seperti Paul. Langsung tidak menunjukkan kesedihan, Cody menunjukkan komitmen yang tinggi untuk memberikan persembahan yang terbaik.

“Pada mulanya kami merancang untuk menamatkan Fast & Furious 7. Bagaimanapun, saya dan teman-teman lain mengubah pendirian dan mahu meneruskan pembikinan filem ini dengan membabitkan Cody sebagai ahli keluarga Fast & Furious,” kata pengarah kelahiran Malaysia itu.

Teknik Imej Janaan Komputer (CGI) yang digunakan berjaya menjelmakan Cody sebagai Paul yang membawa watak Brian O’Conner hingga penonton langsung tidak perasan Brian sebenarnya dilakonkan oleh Cody.

Babak akhir filem berkenaan juga agak emosi apabila James menggambarkan simbolik pemergian Paul apabila dia berpisah dengan Dominic Toretto lakonan Vin Diesel ketika sama-sama memandu di lebuh raya.

Sambutan terhadap filem ini yang mula ditayangkan 2 April lalu juga mengejutkan apabila tempahan tiket harus dibuat lebih awal kerana peminat enggan melepaskan peluang menyaksikan filem terakhir Paul ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 10:19 AM