Oleh Rosli Ilham


Kemaman: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Pengkalan Kemaman menahan dua bot pukat tunda Vietnam kerana melakukan aktivit penangkapan ikan secara haram di perairan negara, membabitkan nilai rampasan keseluruhan kira-kira RM1 juta, awal pagi tadi.

Pegawai Pemerintah KM Gemia Leftenan Komander Maritim Mohammad Osman berkata, kedua-dua bot itu membawa 20 nelayan warga asing ditahan kira-kira 80 batu nautika timur perairan Pulau Tenggol pada 3 pagi ketika anggota penguat kuasa sedang melakukan Operasi Perkasa Timur di sekitar perairan berkenaan.

"Ketika rondaan dijalankan, pihak APMM terserempak dua bot berada tidak jauh antara satu sama lain sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua anak kapal berusia lingkungan 18 hingga 53 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Pemeriksaan juga menjumpai hasil tangkapan sotong dan ikan seberat satu tan diletakkan dalam kargo penyimpanan ikan.

Beliau berkata, hasil rampasan bernilai RM1 juta dan bot terbabit dibawa ke jeti Pengkalan Maritim Kemaman serta tiba di pengkalan 6 pagi tadi. Semua nelayan terbabit ditahan di lokap Maritim Kuantan dan akan didakwa dibawah Akta Perikanan 1985 yang mana jika sabit kesalahan, tekong bot boleh di denda RM1 Juta, manakala awak-awak sebanyak RM100 ribu setiap seorang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 6:03 PM