PANNIR  memeriksa hasil tangkapan sebuah bot nelayan Vietnam yang ditahan selepas menceroboh perairan negara.
PANNIR memeriksa hasil tangkapan sebuah bot nelayan Vietnam yang ditahan selepas menceroboh perairan negara.
Rosli Ilham

Chukai: Tindakan penguatkuasaan di laut masih belum mampu membuatkan nelayan asing berasa serik kerana pencerobohan bot terutama membabitkan warga Vietnam terus berlaku.

Yang terbaru, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan bot nelayan Vietnam dan sebuah bot nelayan tempatan kerana menggunakan lesen yang dicurigai di sekitar kawasan perairan Kuala Kemaman.

Bot pertama ditahan pada jam 3.50 petang kelmarin ketika mereka menangkap ikan pada kedudukan kira-kira 62 batu nautika dari Kuala Kemaman.

Pemeriksaan terhadap bot berkenaan mendapati ada seramai 15 awak-awak termasuk tekong yang berusia 15 hingga 48 tahun dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Bot berkenaan juga didapati tidak mempunyai permit kebenaran untuk menangkap ikan di perairan negara ini.

Timbalan Pengarah Maritim Wilayah Maritim Timur (Operasi), Kapten Maritim V Pannir Selvan berkata, bot berkenaan ditahan hasil rondaan yang dilakukan menerusi Op Perkasa Timur di Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) dan mendapati bot berkenaan sudah beberapa hari menangkap ikan di negara ini.

Menurutnya, bot nelayan tempatan itu ditahan kira-kira 15 minit tidak jauh dari lokasi bot nelayan Vietnam yang menangkap ikan di kawasan itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati lesen bot itu mencurigakan manakala lima awak-awak dan tekong berusia 21 hingga 36 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kedua-dua bot semua awak-awak dan tekongnya dibawa ke Pangkalan Maritim Kemaman untuk disiasat mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut merampas hasil tangkapan kedua-dua bot terbabit yang dianggarkan seberat 4,500 kilogram membabitkan nilai rampasan hampir RM1.5 juta.

Katanya, pihaknya akan terus memperkasakan rondaan dan operasi bagi mengekang kegiatan nelayan asing menceroboh serta merompak hasil perikanan negara.

“Sepanjang tahun lalu, Maritim Wilayah Timur berjaya menahan 70 bot nelayan asing dan 59 bot nelayan tempatan yang melakukan pelbagai kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 5:31 AM