Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar kereta di Kampung Chica, Kubang Kerian, di sini, 7 pagi tadi.

Dalam kemalangan itu, mangsa, Haris Mohammad Nor, 53, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di bank dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Mawar Chicha, di sini, selepas solat subuh di masjid Kampung Chicha.

Katanya, sebelum kejadian mangsa hendak membuat pusingan U dan secara tiba-tiba mengubah haluan dari bahu jalan sebelah kiri ke lorong kanan.

"Ketika itu kereta yang dipandu seorang lelaki dari arah yang sama tidak dapat mengelak lalu melanggar mangsa dari arah belakang.

"Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke arah jalan bertentangan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala," katanya di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 12:33 PM