ISMET (kanan) bersama Asmat (dua dari kiri) ketika melancarkan Toyota Camry 2.0 liter, semalam.
ISMET (kanan) bersama Asmat (dua dari kiri) ketika melancarkan Toyota Camry 2.0 liter, semalam.

Petaling Jaya: UMW Toyota Motor Sdn Bhd berunding dengan kerajaan supaya melanjutkan insentif Dasar Automotif Nasional (NAP) 2014 untuk menjadikan harga kenderaan pemasangan tempatan (CKD) segmen hibrid keluarannya lebih kompetitif.

Presidennya, Datuk Ismet Suki berkata, buat masa ini rundingan itu dianggap positif kerana kerajaan memahami pelaburan besar untuk pemasangan kenderaan hibrid itu bukannya boleh membuahkan hasil dalam tempoh setahun.

“Sekiranya tiada insentif itu, harga Toyota Camry 2.5 liter hibrid boleh mencecah sehingga RM250,000 (harga selepas insentif RM174,900).

“Insentif itu ternyata memberi berita baik kepada pelanggan kami kerana mereka boleh menikmati kenderaan yang menawarkan prestasi terbaik, jimat minyak serta harga yang munasabah,” katanya selepas majlis pelancaran Toyota Camry 2.0 liter dipertingkatkan serta Toyota Camry 2.5 liter Hibrid di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi UMW Toyota Motor, Tan Sri Asmat Kamaludin dan Timbalan Ketua Jurutera Camry, Toyota Motor Corporation, Toshihiro Nakaho.

Ismet berkata, pihaknya menerima tempahan 300 unit sejak dibuka kelmarin dan menyasarkan sejumlah 9,000 Toyota Camry dijual sehingga hujung tahun ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu, pihaknya mengunjurkan sejumlah 80 peratus bagi model hibrid membabitkan 7,000 unit manakala selebihnya Toyota Camry 2.0 liter.

UMW Toyota Motor menyasarkan jualan sehingga 90,000 unit bagi semua model keluarannya tahun ini dengan menjangka prestasi lebih meningkat pada suku kedua berbanding suku pertama pada 2015.

Sementara itu, dua model dipertingkatkan diperkenalkan bagi Toyota Camry 2.0 liter membabitkan G dan E serta varian terbaru Camry 2.5 liter Hibrid.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 8:35 AM