Putrajaya: Mulai hujung minggu ini, pasukan van bergerak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ditempatkan di beberapa kawasan tumpuan orang ramai memberi penjelasan mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad berkata, selain penjelasan, pasukan ini menyediakan khidmat nasihat dan menerima aduan daripada orang ramai berhubung sistem percukaian baharu negara itu.

“Selain itu, kami menempatkan anggota penguat kuasa supaya tindakan serta-merta boleh diambil terhadap peniaga sekiranya aduan kenaikan harga barang di kawasan berkenaan.

“Van ini ditempatkan di kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar dan pasar raya bagi memudahkan orang ramai mendapatkan khidmat disediakan,”katanya pada sidang media mengenai GST di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk T Subromaniam.

Alias berkata, pihaknya menggunakan semua van enam agensi dibawah kementerian bagi tujuan ini yang dilaksanakan menerusimelalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

“Hujung minggu ini kami gerakkan, kami cuba sebaik mungkin untuk sampai ke peringkat bawah walaupun mempunyai batasan tertentu, jadi menerusi inisiatif ini diharap membantu pengguna,”katanya.

Sementara itu, beliau berkata, lapan notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan kepada peniaga kelmarin untuk mendapatkan penjelasan atau justifikasi mengenai punca kenaikan harga barang atau caj bagi perkhidmatan yang tidak munasabah.

Katanya, pihaknya mengeluarkan 644 notis sama dari 1 hingga 19 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 10:29 AM