DATUK Seri Alias Ahmad. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
DATUK Seri Alias Ahmad. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Hotel dan restoran yang tiada perjanjian bersama (collective aggrement) antara majikan dan pekerja tidak dibenarkan mengenakan caj perhidmatan kepada pelanggan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad berkata, sekiranya pihak hotel dan restoran tetap mahu mengenakan caj berkenaan maka mereka dikehendaki memaparkan notis bahawa mereka kenakan caj bagi perkhidmatan yang mereka sediakan.

Beliau berkata, pihaknya meminta pengguna tampil membuat laporan sekiranya pihak restoran dan hotel tetap mengenakan caj perkhidmatan biarpun tiada perjanjian bersama.

"Jika mereka tetap melanggar arahan itu, maka kesalahan itu boleh disiasat mengikut tiga akta iaitu Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011; Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna," katanya pada sidang media GST di sini, sebentar tadi.

Katanya, pihaknya akan melaksanakan penguatkuasaan terhadap pihak yang mengenakan caj perkhidmatan itu sehingga ada polisi baru yang diperkenalkan kerajaan.

Alias berkata, sebelum ini, tiada badan kawal selia yang mengawal pihak hotel dan restoran berkaitan pelaksanaan caj perkhidmatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 2:02 PM