Kuala Lumpur: Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 100,000 unit kediaman mampu milik setahun bagi memastikan semua golongan mampu memiliki rumah.

Penganalisis Hartanah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif FAR Capital, Faizul Ridzuan berkata, bagi memastikan semua pelaksanaan intipati perumahan pada Bajet 2015 boleh dirasai golongan sasar, kerajaan perlu meneliti kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri bagi membentuk rangka kerja yang sekata.

“Setiap pembangunan memerlukan campur tangan kerajaan negeri dalam meletakkan lokasi dan tanah yang dibangunkan bagi projek mampu milik seperti ini.

“Jadi, amat penting untuk kerjasama kedua-duanya supaya pemaju hartanah swasta dapat melihat peluang dalam membabitkan diri dalam pembangunan sedemikian,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri mempunyai hubungan penting dengan pemaju dalam setiap pembangunan.

Menurutnya, berkait rapat dengan cadangan terbabit, satu rangka kerja yang rapi perlu diperkenalkan supaya pemaju perumahan swasta aktif dalam membantu kerajaan mewujudkan lebih banyak unit mampu milik.

Katanya, apa yang diumumkan baru-baru ini memberi ruang dalam industri khususnya selepas berdepan dengan cabaran sedia ada kerana ia merangkumi golongan berpendapatan rendah, sederhana dan penjawat awam serta swasta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:04 AM